Sindiket dadah tumpas, remaja 17 tahun antara tiga ditangkap

Sebahagian dadah yang dirampas dalam satu operasi khas di sekitar Miri dari 18 Mei lalu hingga hari ini. Gambar Polis sarawak

MIRI—Polis Sarawak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan tiga individu ditangkap termasuk remaja 17 tahun dan rampasan dadah berjumlah lebih RM200,000 dalam satu operasi khas di sekitar Miri dari 18 Mei lalu hingga hari ini.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 37 tahun ditangkap dalam siri serbuan semasa satu operasi khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri.


"Polis merampas 6,000 gram dadah syabu bernilai RM216,000, dua paket jus ekstasi bernilai RM1,500, (130) biji pil erimin 5 bernilai RM1,950 dan 29 biji pil ekstasi bernilai RM435," katanya dalam kenyataan hari ini.


Polis turut menyita dua kereta jenis Perodua Axia yang dianggarkan bernilai RM50,000. Gambar Polis sarawak


Jelas Mohd Azman, tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 37 tahun di hadapan sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Miri sekitar jam 4.30 petang pada 18 Mei 2022. 


"Satu bungkusan kotak barang elektrik bersama 3,000 gram dadah syabu yang bernilai RM108,000 telah dirampas daripada lelaki tersebut.


"Dengan berpandukan tangkapan pertama, pada 18 Mei 2022 jam 4.50 petang, polis telah menangkap seorang lelaki berusia 17 tahun di hadapan sebuah kedai runcit di kawasan Permyjaya Miri," dedahnya.


Tambahnya, kemudian pada hari yang sama sekitar jam 5 petang polis telah menangkap seorang perempuan berusia 22 tahun di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai runcit di kawasan Permyjaya Miri.



Katanya lagi, berpandukan tangkapan kedua, pada jam 11.30 malam hari yang sama, polis telah merampas dua paket jus ekstasi bernilai RM1,500, 130 biji pil erimin 5 bernilai RM1,950 dan 29 biji pil ekstasi bernilai RM435 di sebuah rumah kedai di kawasan Jalan Miri Airport.


"Pada 20 Mei 2022 jam 10.30 pagi, polis telah membuat rampasan satu kotak bungkusan barang elektrik bersama 3,000 gram dadah syabu yang bernilai RM108,000 di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Miri," jelasnya.


Dalam pada itu, Mohd Azman memberitahu, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


Beliau memberitahu, modus operandi sindiket pengedaran dadah ini dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak tiga bulan yang lalu. 


"Dadah dikirim melalui perkhidmatan kurier oleh ahli sindiket yang berada di Semenanjung Malaysia.


"Dadah yang dikirim ke Miri akan dibungkus bersama barangan yang lain bagi mengaburi syarikat kurier atau pihak berkuasa.


"Dadah yang diperolehi akan diedarkan kepada tokan-tokan di Miri mengikut permintaan," ujarnya.


Menurut beliau, kesemua dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 30,165 orang penagih dadah.


Selain rampasan, katanya, polis turut menyita dua kereta jenis Perodua Axia yang dianggarkan bernilai RM50,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.


Tambahnya, dua daripada suspek diuji positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan awal air kencing.


"Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Miri semalam yang mana dua suspek lelaki direman selama tujuh hari bermula 19 Mei manakala suspek wanita direman selama lima hari bermula 19 Mei 2022 hingga 23 Mei 2022," katanya.


Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan.


"Polis akan terus berusaha meningkatkan usaha bagi memerangi kegiatan pengedaran dadah dengan mengesan saki baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan serta melumpuhkan sumber bekalan dadah, kewangan dan aset sindiket bagi memastikan kegiatan mereka dibanteras habis-habisan," katanya.

Next Post Previous Post