Kanada sekat produk dan perkhidmatan Huawei, ZTE


WASHINGTON—Kerajaan Kanada mengharamkan produk dan perkhidmatan Huawei dan ZTE serta memberi arahan kepada syarikat-syarikat supaya menghentikan penggunaannya, kata Menteri Inovasi, Sains dan Industri Francois-Philippe Champagne.


“Hari ini, sebagai sebahagian daripada langkah memastikan keselamatan jangka panjang infrastruktur telekomunikasi Kanada, kerajaan bersetuju melarang kemasukan produk dan perkhidmatan Huawei dan ZTE dalam sistem telekomunikasi negara,” kata Champagne dalam satu kenyataan pada Khamis.


Champagne menegaskan keputusan kerajaan itu dibuat selepas semakan menyeluruh oleh agensi keselamatan bebas dan berunding dengan sekutu terdekat Kanada, lapor Sputnik.


“Oleh itu, syarikat telekomunikasi yang beroperasi di Kanada tidak lagi dibenarkan menggunakan peralatan atau perkhidmatan yang disediakan oleh Huawei dan ZTE," kata Champagne.


“Selain itu, syarikat yang sudah menggunakan dan memasang peralatan itu dalam rangkaian mereka  dikehendaki menghentikan penggunaannya dan mengeluarkannya. Kerajaan bercadang untuk melaksanakan langkah-langkah itu sebagai sebahagian daripada agenda yang lebih luas untuk mempromosikan keselamatan rangkaian telekomunikasi Kanada dan berunding dengan industri."


Keputusan itu menjadikan Kanada ahli kelima dan terakhir kumpulan perkongsian risikan Five Eyes yang mengeluarkan larangan atau menyekat akses Huawei kepada rangkaian 5G negara itu atas kebimbangan pengintipan. Langkah itu sudah dilakukan Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan United Kingdom.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post