SFC dikerah turun padang bagi membantu Operasi SAR mangsa diserang buaya

Azizul Annuar Adenan (gambar sisipan) mahu SFC sama membantu operasi SAR. Gambar belakang anggota bomba meneruskan operasi SARi di sekitar kawasan Sungai Kangka, Lundu, hari ini. Teks dan gambar kredit Sarawak Viral News I Gambar SAR Bomba


KUCHING—Penduduk terutama masyarakat yang tinggal di sekitar kawasan perairan di Lundu dinasihati agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak risiko diserang buaya.


Peringatan itu diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan kepada Sarawak Viral News ketika ditemui di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.


"Meskipun kurang pasti dengan jumlah populasi habitat 'sang bedal ' berkenaan di kawasan tersebut, saya berharap agar pihak berkaitan dapat bertindak dengan proaktif dalam menangani kejadian berkenaan," katanya.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung insiden seorang lelaki iaitu Sebarang Bingkok, 56, yang dilaporkan hilang di Sungai Kampung Kangka di Lundu semalam, dipercayai menjadi mangsa serangan buaya.


Ketua Polis Daerah (KPD) Lundu, Dsp Damatarius Lautin yang mengesahkan kejadian berkata, ia susulan cebisan anggota badan iaitu kepala mangsa ditemui hanyut oleh anak saudaranya sendiri pada hari yang sama.


Katanya, sekitar jam 5 petang, anak saudara mangsa, Eliyanna Jemat bersama abangnya Hendri Isa Jemat telah pergi menyusuri Sungai Kangka menaiki perahu untuk mencari mangsa. 



"Sekitar satu kilometer jarak dari pangkalan di kampung itu, mereka telah menjumpai bahagian kepala mangsa yang hanyut dibawa arus, dipercayai dibaham buaya.


"Sejurus penemuan itu, ahli keluarga mangsa tampil membuat laporan polis manakala bahagian kepala mangsa telah dibawa ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut," katanya.


Sehubungan itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah diaktifkan pada jam 6.30 petang semalam. 


Katanya, pencarian dilakukan di sekitar 1 km radius dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dan berjaya menjumpai kepala mangsa yang hanyut dibawa arus.


Setelah itu, pencarian diteruskan sehingga jam 8 malam namun tiada sebarang penemuan lagi berkenaan mangsa. Ops SAR kemudian ditangguhkan pada jam 8.20 malam dan disambungkan pada jam 9 pagi tadi.


Sementara itu, Azizul menambah, beliau juga telah mengarahkan pegawai daerah untuk berhubung dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) supaya turut sama membantu dalam operasi SAR hari ini.


Difahamkan, kejadian yang berlaku merupakan serangan buaya kedua selepas kejadian pertama dilaporkan berlaku sekitar 10 tahun lepas.

Next Post Previous Post