Anak derhaka pukul bapa guna penyapu dipenjara enam bulan

Tertuduh di bawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhi hukuman penjara enam bulan, pada Khamis.

KUCHING—Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang penganggur wanita selepas mengaku bersalah mencederakan bapanya yang berusia 86 tahun, dengan cara menolak dan memukulnya menggunakan sebatang penyapu.


Memetik laporan Utusan Borneo, Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Yeo Ngang Sui, 50, yang didakwa mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama.


Di bawah seksyen tersebut, sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.


Berdasarkan pertuduhan, Yeo didakwa melakukan kesalahan itu ke atas bapa kandungnya sekitar jam 7 malam di kediaman mereka di Taman Poh Kwong, di sini pada 12 Mei lalu.


Mengikut fakta kes, dia dituduh memukul mangsa menggunakan sebatang kayu penyapu setelah berlaku pertengkaran mulut antara mereka.


Selain itu, tertuduh turut bertindak menolak dan memukul bahagian kepala mangsa.


Disebabkan insiden berkenaan, mangsa mengalami kesakitan di kepala dan tangan sebelah kiri. 


Mangsa kemudian membuat laporan polis kerana bimbang dan risau akan keselamatan diri.


Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum dijatuhkan hukum merayu agar tidak dikenakan hukuman berat atas alasan dia menyesali perbuatan tersebut dan ia merupakan kesalahan pertamanya. 


Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff.

Next Post Previous Post