Dua pusat melombong bitcoin digempur, sebabkan kerugian RM1.4 juta

Polis merampas mesin dan peralatan yang digunakan untuk kegiatan melombong bitcoin dalam Op Mining Bitcoin di Batu 6 dan Siburan semalam.

KUCHING-- Dua premis di Batu 6 dan Siburan yang dijadikan pusat melombong bitcoin yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM1.4 juta akibat penyambungan elektrik secara haram digempur dalam Op Bersepadu (Op Mining-Bitcoin) semalam. 


Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam operasi di dua lokasi itu, polis merampas 116 unit mining mesin (single), 20 unit mining mesin (double), seunit CPU, seunit monitor, dua unit TP - Link, seunit keyboard dan tujuh unit cooler. 


"Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan hasil serbuan pertama dan kedua di dua lokasi itu adalah RM87,000," katanya dalam kenyataan hari ini. 



Jelasnya, kedua-dua premis terbabit menjalankan aktiviti melombong bitcoin sejak tiga tahun lalu dengan membuat penyambungan elektrik secara haram bagi operasi pusat tersebut. 


Tegas beliau, akibat penyambungan elektrik secara haram selama tiga tahun itu, dianggarkan jumlah keseluruhan kerugian yang ditanggung Sarawak Energy Berhad hasil serbuan pertama dan kedua ini adalah RM1.4 juta. 


Mengulas lanjut, Abang Zainal berkata, lokasi serbuan pertama di sebuah premis Batu 6, Jalan Penrissen, Lee Ling Height Fasa 2 yang dijalankan sekitar jam 10.30 pagi semalam. 



Serbuan kedua pula katanya di sebuah premis di tingkat satu di Kuching Out Ring Road, Siburan sekitar jam 1 petang. 


Sehubungan itu, beliau memberitahu usaha untuk mengesan penyewa atau pemilik premis tersebut akan diteruskan bagi mengesan suspek terlibat. 


Jelasnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun yang sama. 


Operasi itu dilaksanakan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bersama kakitangan Sarawak Energy Berhad. 

Next Post Previous Post