Tiga ditangkap, pukul rakan sekerja hingga sebabkan kematian

Gambar sekadar hiasan

SERIAN—Polis mengesahkan kes seorang lelaki yang meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Umum Sarawak selepas cedera dipukul oleh rakan sekerja sebagai kes bunuh. 


Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, isteri mangsa yang berada di rumah sedang menidurkan anak telah mendengar suaminya menjerit. 


"Isteri mangsa kemudian bergegas keluar dan melihat suaminya telah dipukul oleh sekumpulan lelaki," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelasnya lagi, ketika sampai ke tempat kejadian yang terletak lebih kurang 50 meter dari rumah mangsa, isteri mangsa mendapati suaminya dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri. 


"Isteri mangsa kemudian membawa mangsa ke klinik Balai Ringin untuk mendapatkan rawatan. 


"Mangsa kemudiannya dipindahkan Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut," ujarnya. 


Aswandy memberitahu, mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia sekitar jam 8.45 pagi tadi oleh pihak hospital. 


"Ekoran daripada kejadian ini, tiga lelaki disyaki terlibat dengan kes ini telah ditangkap sekitar jam 5 pagi," katanya. 


Tambahnya, kes itu yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan diklasifikasi semula ke Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 


"Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian," tegasnya. 


Kes masih dalam siasatan.

Next Post Previous Post