Peniaga maut motosikal rempuh belakang MPV

Kemalangan yang meragut seorang penunggang motosikal di Batu 13 Jalan Kuching Serian awal pagi tadi. 

PADAWAN—Seorang peniaga kedai kopi maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Batu 13 Jalan Kuching Serian awal pagi tadi. 


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Chai Shong Teck, 46, beralamat di Lorong Arang,  Jalan Arang. 


Katanya, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 1.45 pagi melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah MPV jenis Toyota Rush dan sebuah motosikal Yamaha YZF-R1. 


"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa MPV yang dipandu seorang pensyarah wanita, 52, sedang bergerak lurus di lorong kanan jalan dari arah Kuching hendak menghala ke arah Serian tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang. 


"Akibat perlanggaran tersebut, motosikal bersama penunggang terbabas lalu mengheret mangsa sejauh 77 meter ke bahu sebelah kiri jalan," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Tambahnya, pemandu MPV sempat memberhentikan kenderaan yang dipandunya ke bahu sebelah kiri jalan. 


"Kesan perlanggaran tersebut juga menyebabkan motosikal mangsa rosak hampir keseluruhan bahagian kenderaan manakala MPV rosak di bahagian belakang sebelah kiri dan tayar belakang sebelah kiri turut pecah," jelasnya. 


Kata Bingkok, penunggang disahkan maut ditempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan. 


Beliau memberitahu kawasan kemalangan adalah jalan lurus dua lorong satu hala mempunyai garisan putih putus-putus sebagai pembahagi laluan iaitu dari arah Kuching hendak menuju ke arah Serian. 


"Semasa kejadian kemalangan berlaku keadaan cuaca adalah cerah. 


"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut. 


Kes masih dalam siasatan.

Next Post Previous Post