Tiong: Benarkan lebih ramai ‘YB’ tanpa jawatan jadi pengerusi agensi, GLC Sarawak


KUCHING— Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini menyeru kerajaan Sarawak membuat penambahbaikan dan pembaharuan dalam kementerian, agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi menggalakkan persekitaran mesra perniagaan dan memastikan pelaksanaan dasar yang cekap  di peringkat akar umbi. 


Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Dudong) berkata antara langkah yang perlu dilakukan ialah membenarkan lebih ramai wakil rakyat tanpa jawatan menteri memegang jawatan pengerusi dalam agensi kerajaan negeri dan GLC di Sarawak.


Beliau berkata perlembagaan negeri menetapkan bahawa jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah beberapa agensi kerajaan atau GLC mesti dipegang oleh menteri, timbalan menteri atau ketua setiausaha kementerian berkaitan.


“Wakil rakyat boleh menjadi jambatan kepada semua pihak dalam sektor swasta dan awam dengan mencerminkan suara dan saranan rakyat pada waktu yang sesuai,” katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ni.


Beliau menegaskan bahawa penjawat awam pastinya terikat kepada pihak berkuasa atau takut untuk bersuara manakala dalam beberapa kes mereka terikat pada kerenah birokrasi dan perlu melalui beberapa siri mesyuarat.


Tiong berkata wakil rakyat boleh menggunakan status mereka untuk mendapatkan sumber dan kerjasama untuk menggalakkan kemajuan, pembaharuan dan melancarkan kepayahan sedia ada dalam sistem yang menghalang kemajuan bagi agensi atau GLC.


“Kita mesti menggalakkan penyertaan pelbagai dalam sistem jabatan kerajaan, memperbaiki kelemahan, meningkatkan kecekapan, mengurangkan birokrasi, memudahkan dasar dan pada masa yang sama bekerjasama dengan wakil rakyat untuk meneliti dan menambah baik isu dalaman, menghapuskan dasar yang jumud dan halangan kepada pelbagai program kebajikan,” katanya.


Tiong berkata melalui kuasa yang diberikan, kerajaan boleh mengharapkan wakil rakyat bekerja tanpa halangan, lebih memahami isu sebenar organisasi tertentu dan melaporkan semula kepada menteri berkenaan untuk tindakan selanjutnya bagi membawa penyelesaian dan perubahan yang praktikal.


Beliau juga menggesa agar agensi atau jabatan kerajaan dirombak dan didesentralisasikan bagi memudahkan pelakasanaan sistem untuk menjadikannya lebih mesra dan mengutamakan rakyat.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post