Filem seram ‘Sumpahan Jerunei' pikat bakal pembeli antarabangsa di Marche Du Film


CANNES (Perancis)—Filem seram, 'Sumpahan Jerunei' terbitan Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd telah menarik minat beberapa bakal pembeli antarabangsa di Marche Du Film 2022 yang disifatkan sebagai antara pasaran filem terbesar di dunia.


Pengarah Eksekutif Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd Datin Dr Wendy Wong berkata setakat ini, sebanyak enam pembeli dari Amerika Syarikat dan satu pembeli dari United Kingdom menunjukkan minat untuk membeli filem arahan pengarah Jason Chong itu.


"Filem ini menerima tawaran daripada banyak pengedar atau ejen. Buat sementara ini kita tengah fikir mana satu pilihan yang terbaik sekali. Ini kerana kami kena pilih satu pembeli sahaja.


"Kita punya kriteria jangan pembeli ambil 'worldwide right' kerana ramai ejen nak ambil worldwide right, kalau ambil worldwide right kita tak dapat kawal dan kita tak nak hilang pegangan Asia itu. Sekarang kita sedang dalam dilema sebab tiga pembeli yang disenarai pendek ada keistimewaan sendiri," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.


Menampilkan barisan pelakon terkenal dan berpengalaman antaranya Bront Palarae, Syafie Naswip, Amerul Affendi, Tony Eusoff, Uqasha Senrose dan Ruminah Sidek, Sumpahan Jerunei dihasilkan berdasarkan kisah benar yang memaparkan sejarah kaum Melanau berkaitan adat pengebumian bangsawan Melanau di Sarawak.


Sementara itu, seorang lagi Pengarah Eksekutif syarikat produksi itu Datuk Nancie Foo berkata Sumpahan Jerunei mendapat perhatian daripada pembeli antarabangsa berikutan filem berkenaan memaparkan kisah benar selain ia merupakan filem seram yang melibatkan budaya.


"Memang pembeli asing suka sangat, mereka suka tajuk asli dan budaya. Dalam filem ini memang semua adalah asli. Lokasi pun memang lokasi asal. Bila mereka (pembeli) dah dapat tiga perkara ini, mereka sudah tertarik," katanya.


Beliau berkata perbincangan bersama pembeli yang berpotensi telah pun dibuat sejak dua tahun lepas dan Marche Du Film menjadi platform untuk mereka mengadakan perbincangan lanjut serta membuat pilihan dan seterusnya memeterai perjanjian.


Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.


Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 Mei.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post