Belum reda Covid-19, Eropah digemparkan oleh cacar monyet

Tangan kanan dan kaki seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun di Bondua, Grand Gedeh County, Liberia, yang dijangkiti cacar monyet. Gambar kredit Science Source

LONDON—Lebih 100 kes disyaki monkeypox atau cacar monyet dikesan merebak, sekurang-kurangnya ke lima buah negara Eropah termasuk United Kingdom, Jerman, Italy, Sepanyol dan Portugal.


Cepatnya virus ini menular mencetuskan kebimbangan memandangkan penyakit ini biasa ditemui di Afrika Barat dan Tengah dan jarang sekali merebak ke tempat lain.


"Ia adalah penularan cacar monyet yang terbesar pernah melanda Eropah," kata jurucakap kesihatan angkatan tentera Jerman ketika mengulas perkembangan terbaharu itu seperti dipetik Reuters semalam.


Fabian Leenderts dari Robert Koch Institute menyifatkan cacar monyet adalah epidemik, penyakit berjangkit yang mudah merebak dalam kalangan penduduk ssesuatu kawasan pada waktu yang sama.


"Namun penyakit ini tidak kekal lama. Kes-kes boleh diasingkan melalui pengesanan kontak rapat selain terdapat ubat dan vaksin yang berkesan jika perlu.


Selain Eropah, jangkitan virus ini dikesan di Kanada, Amerika Syarikat dan Australia.


Bagaimanapun, saintis tidak menjangkakan wabak itu berkembang menjadi pandemik seperti Covid-19, memandangkan virus itu tidak mudah merebak seperti SARS-COV-2.


Setakat ini tiada vaksin untuk cacar monyet. Namun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, mereka mempunyai data menunjukkan vaksin yang digunakan untuk penyakit jenis cacar (smallpox) berkesan sehingga 85 peratus dalam mengekang jangkitan cacar monyet.


Pihak berkuasa UK pada Khamis memberitahu mereka menawarkan vaksin penyakit jenis cacar kepada pekerja kesihatan dan individu yang mungkin terdedah denga risiko jangkitan cacar monyet.


Sejak 1970, virus ini dilaporkan melanda 11 negara Afrika dengan Nigeria mencatat kes wabak tertinggi sejak 2017. Setakat ini, sebanyak 46 kes dilaporkan dengan 15 kes disahkan cacar monyet, menurut WHO.


Jangkitan pertama di Eropah disahkan pada 7 Mei, melibatkan seorang individu di England yang diuji positif virus tersebut selepas mengunjungi Nigeria.


"Sejak itu, lebih 100 kes jangkitan dilaporkan berlaku di luar benua Afrika," kata University of Oxford menerusi ciapan di Twitter.


Setakat ini, Britain melaporkan 20 kes dan Agensi Keselamatan Kesihatan UK berkata kes baru-baru ini kebanyakan di kalangan golongan gay, biseksual.


Selain itu, pemeriksaan di klinik kesihatan di Portugal turut mengesan 14 kes cacar monyet melibatkan golongan itu.


Di Sepanyol, pihak berkuasa pada Jumaat mengesahkan 23 kes baharu, kebanyakan berlaku di Madrid dan dikaitkan dengan aktiviti sauna dewasa.


Sementara itu Pesuruhjaya kesihatan wilayah Lazio di Itali, Alessio D'Amato berkata, masih terlalu awal untuk mengaitkan penyakit itu dengan hubungan seks.


Selain itu, WHO turut menyiasat bahawa banyak kes berlaku di kalangan golongan gay, biseksual.


"Kami sedang melihat penularan dalam kalangan lelaki melakukan hubungan seks dengan lelaki," kata Penolong Ketua Pengarah WHO Dr. Soce Fall.


Cacar monyet pertama kali direkodkan di Republik Demokratik Congo pada tahun 1970-an.


Gejala hampir sama seperti penyakit jenis cacar termasuk demam, sakit kepala dan ruam kulit bermula pada muka dan merebak ke seluruh badan.


Menurut artikel yang disiarkan Scientific America, virus ini disebarkan oeh haiwan ke manusia. 


Nama penyakit ini berasal daripada kes pertama yang didokumenkan  pada tahun 1958, apabila dua wabak berlaku pada monyet yang disimpan untuk penyelidikan. 


Walau bagaimanapun, virus ini tidak berjangkit daripada monyet kepada manusia dan monyet bukan pembawa utama penyakit ini.

Next Post Previous Post