Suami isteri disyaki dera anak saudara sehingga maut direman seminggu

Pasangan suami isteri tiba di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin bagi mendapatkan perintah reman selepas disyaki mendera anak saudara perempuan berusia lapan tahun hingga maut. Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI/KOSMO

IPOH—Pasangan suami isteri yang ditahan semalam berhubung kematian kes kematian seorang kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia dipercayai didera, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah selepas menerima permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret di sini.

Pasangan suami isteri berusia 40 tahun itu yang merupakan ibu dan bapa saudara yang menjaga kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu direman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata penahanan kedua-dua suspek dibuat susulan pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada kira-kira 3.14 pagi.

Mior Faridalathrash berkata pegawai perubatan itu membuat laporan bahawa jabatan terbabit menerima seorang pesakit kanak-kanak yang dibawa menaiki ambulans dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira 1.45 pagi.

Katanya bedah siasat telah djalankan oleh pakar patologi Jabatan Forensik HRPB dan didapati punca kematian adalah akibat pelbagai kecederaan disebabkan oleh benda tumpul.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post