Sarawak umum wujudkan dana berdaulat selepas kajian dibuat, Abang Johari

Sekitar majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Perasmiaan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

KUCHING—Kerajaan Sarawak akan mengumumkan keputusan untuk mewujudkan dana  berdaulat sendiri setelah kajian mengenainya dibuat, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dana berdaulat adalah penting, dalam usaha negeri itu untuk menguruskan pendapatan dengan lebih baik, demi masa hadapan Sarawak.


“Apabila ekonomi berkembang, pendapatan berkembang, dana ini akan memberikan pendapatan yang baik kepada negeri kita.

“Sekarang kajian masih dibuat, selepas kajian dibuat mudah-mudahan kita dapat seperti negara Norway. Pengurusan yang cermat, telus dalam menguruskan harta, aset dan membangun untuk masa hadapan,” katanya. di majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Perasmiaan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.


Abang Johari juga  kagum dengan kejayaan Norway, dalam menguruskan dana kekayaan berdaulat negara itu, yang diiktiraf secara meluas serta diuruskan menerusi standard tadbir urus tertinggi sejak penubuhannya pada 1996.

“Pada awal dana daulat Norway tidak besar, hanya dua billion korona sahaja, namun sekarang dilaporkan mempunyai nilai keseluruhan US$1.34 trilion, jadi kita di Sarawak kalau dijaga dengan baik insya-Allah akan seperti Norway,” katanya.

Sarawak telah mengumumkan akan bekerjasama dengan Norway, dalam usaha ke arah kejayaan pembentukan dan pengurusan dana kekayaan berdaulat sendiri, semasa Abang Johari mengadakan lawatan kerja dua hari ke negara itu pada Isnin lepas, yang diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post