SFC digesa segera buat kajian berhubung serangan buaya mengganas di Sarawak


KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) digesa membuat kajian habitat buaya selepas berlaku tragedi serangan reptilia itu hingga meragut dua nyawa baru-baru ini.


Setiausaha Politik di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie berkata, kedua-dua kejadian berlaku dalam tempoh dua hari di Kampung Kangka dan Kampung Trombol.


"Sehubungan itu, kajian terkini mengenai habitat perlu segera dijalankan di Sungai Kangka, Sungai Trombol dan sekitarnya bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan tragedi serangan reptilia tersebut," katanya.



Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menziarahi keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Nyabut dan Kampung Kangka baru-baru ini.


Menurut Syed Hamzah, kajian tersebut perlu merangkumi pelbagai aspek dan faktor yang berkaitan.


“Adakah ia berpunca kerana habitat terancam atau ekologi terganggu menyebabkan reptilia ini masuk ke kawasan sungai penempatan manusia?


“Atau mungkinkah kerana bilangan reptilia itu sudah mencapai jumlah yang banyak kerana berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung yang mendakwa terdapat 40 hingga 50 ekor buaya boleh dilihat pada waktu malam di sungai belakang rumah mereka,” katanya.


Justeru, beliau berkata sekiranya jumlah buaya di kawasan tersebut telah mencapai jumlah yang banyak, maka SFC perlu menjalankan operasi menangkap buaya secara besar-besaran bagi mengelak tragedi berulang.


Operasi tersebut katanya, boleh dibuat kerana buaya di Sarawak bukan lagi disenarai sebagai haiwan liar yang dilindungi.


"Ia susulan apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan pada 2016 telah membenarkan buaya di Sarawak diburu untuk tujuan komersial.


"Keputusan tersebut dicapai hasil negosiasi yang diketuai oleh Datuk Sri Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri Sumber Asli dan Alam sekitar pada waktu itu," katanya.


Menurut beliau lagi, berdasarkan perangkaan yang dibuat tahun 2016 sebanyak 13,500 ekor buaya dikenalpasti mendiami lebih 40 sungai utama di Sarawak dan jumlah itu agak membimbangkan berikutan konflik antara reptilia itu dengan manusia kerap tercetus.


Susulan kejadian itu juga, semua penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya mengambil langkah berhati-hati supaya tiada lagi kejadian sama berulang, gesanya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.