SPRM buka 379 kertas siasatan, tahan 425 individu tahun ini

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki (tengah) semasa program Forum Antirasuah Malaysia ke-3 di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA—Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 379 kertas siasatan dan menahan 425 individu setakat April tahun ini.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bagi suku pertama tahun ini, agensi itu telah merampas aset bernilai RM12.58 juta dan sejumlah RM59 juta dilucuthakkan.



“Tahun lepas, SPRM membuka 829 kertas siasatan yang mengakibatkan 851 tangkapan dengan jumlah aset yang dirampas berjumlah 162 juta, manakala jumlah yang dilucuthakkan ialah sebanyak RM5.13 bilion,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Antirasuah Malaysia ke-3 di sini, hari ini.


Turut hadir Pengerusi dan Pengasas Institut Strategi Antarabangsa (ISI) Cheah Chyuan Yong. Forum anjuran ISI itu bertujuan mencari kaedah yang berkesan dalam membanteras rasuah.


Dalam ucapannya, Azam menggesa syarikat dan syarikat korporat sama ada tempatan atau asing agar memanfaatkan rebat potongan cukai untuk menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berkaitan pencegahan rasuah dan pendidikan.


Beliau berkata dengan penganjuran program CSR, syarikat layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan amaun bersamaan dengan jumlah perbelanjaan yang ditanggung untuk program sedemikian, yang dijalankan dengan kerjasama SPRM.


“Insentif pelepasan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah untuk menggalakkan lebih banyak syarikat swasta bekerjasama dengan SPRM menjalankan program pencegahan rasuah yang akan memberi manfaat kepada orang ramai termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya.


Mengenai usaha pemulihan aset 1MDB, Azam berkata sebanyak RM5.11 bilion lagi telah diperoleh melalui cara penyelesaian dan SPRM akan terus mendapatkan lebih banyak aset yang dicuri daripada pelaku.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.