Liputan bekalan air di Sarawak mencapai 83.6 %, bekalan elektrik mencapai 98.6 peratus di seluruh Sarawak


KUCHING: Liputan bekalan air keseluruhan di Sarawak kini telah mencapai sebanyak 83.6 peratus.


Perkara itu didedahkan oleh Menteri Utiliti dan Komunikasi, Datuk Julaihi Narawi dalam ucapan penggulungan menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.


Menurut beliau, liputan tersebut merangkumi sebanyak 99 peratus di kawasan bandar dan 66.9 peratus di kawasan luar bandar. 


"Sementara untuk mencapai liputan penuh selaras dengan sasaran Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), kementerian memerlukan peruntukan sejumlah RM21.24 bilion," katanya.


Dalam pada itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, kementeriannya juga melaksanakan Program Sarawak Alternative Water Supply (SAWAS) untuk menyediakan bekalan air bersih dan selamat kepada masyarakat di kawasan terpencil di Sarawak. 


Kawasan ini katanya, merupakan kawasan yang tidak dapat disambungkan dengan sistem bekalan air yang sedia ada dan sistem grid air akan datang.


"Lima pakej projek SAWAS telah siap dan membekalkan air bersih kepada 572 isi rumah di Bahagian Sri Aman, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang. 


"Di bawah program Projek Rakyat, kementerian kami juga sedang melaksanakan 22 buah pakej SAWAS dengan anggaran kos sebanyak RM135 juta yang akan memanfaatkan 1,548 isi rumah.


Berhubung bekalan elektrik, Julaihi berkata permintaan beban bekalan elektrik (load demand) di Sarawak adalah sebanyak 4,107 Megawatt (MW) pada 2021 dan dijangka meningkat kepada 4,250MW tahun ini.


Sementara itu katanya, permintaan tersebut juga dijangka meningkat kepada 5,000MW menjelang 2025.


"Jumlah kapasiti penjanaan terpasang (installed capacity) grid elektrik Sarawak kini adalah 5,575MW. 


"Bagi memenuhi pertumbuhan permintaan beban (load demand) bekalan elektrik, stesen janakuasa kitar padu (Combined Cycle Gas Turbine - CCGT) di Tanjung Kidurong berkapasiti 842MW dijadualkan beroperasi sepenuhnya tahun ini," katanya.


Dalam pada itu kata Julaihi, setakat suku pertama tahun 2022, liputan bekalan elektrik telah mencapai 98.6 peratus di seluruh Sarawak dengan liputan elektrik di kawasan luar bandar sebanyak 96.5 peratus.


Kawasan bandar katanya, sudah mempunyai liputan bekalan elektrik sepenuhnya dan Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM2.37 bilion pada 2019 untuk mempercepatkan program elektrifikasi luar bandar di bawah Projek Rakyat. 


"Sehingga kini, sebanyak 657 kampung dan rumah panjang bersamaan dengan 14,100 isi rumah (bersamaan dengan 1.4%) yang belum mendapat bekalan elektrik di seluruh Sarawak," dedahnya.

Next Post Previous Post