Cacar monyet: Belanda catat 6 kes, Maghribi 3 kes


THE HAGUE—Bilangan kes cacar monyet yang menjangkiti manusia meningkat kepada enam di Belanda, umum Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (RIVM) pada Isnin.


Kes pertama disahkan pada Jumaat lepas, lapor Xinhua.


"Sebahagin kes melibatkan pengunjung yang menghadiri festival Darkland di Belgium dan terdiri daripada lelaki yang mengadakan hubungan sejenis," menurut RIVM.


RIVM meminta kontak rapat untuk melakukan kuarantin kendiri dan vaksinasi hanya akan ditawarkan di Perkhidmatan Kesihatan Perbandaran kepada mereka yang berisiko tinggi dijangkiti.


Sementara itu, Maghribi pada Isnin turut mengesan tiga kes yang disyaki melibatkan jangkitan cacar monyet. 


Ketiga-tiga kes itu kini dalam pemantauan dan pesakit berada dalam keadaan sihat serta telah melalui analisis perubatan, menurut Kementerian Kesihatan.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah mengesahkan kes cacar monyet di 12 negara, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Britain, Sepanyol, Portugal, Jerman, Belgium, Itali, Belanda, Perancis dan Sweden.


Kes berkenaan tidak termasuk 21 negara di benua Afrika yang penyakit itu sudah pun dianggap endemik.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post