Sektor perlombongan jana pelaburan RM6.7 bilion, Awang Tengah


KUCHING-- Sektor perlombongan di Sarawak dijangka mampu menjana pelaburan berjumlah RM6.7 bilion khususnya di peringkat industri pertengahan dan hiliran menjelang 2030.


Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sektor itu dapat mewujudkan sekurang-kurangnya 5,300 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang dan kepakaran, selain lebih RM3.5 bilion setahun dalam bentuk ekonomi sampingan.


“Kerajaan Sarawak telah melihat kemampuan sektor perlombongan di Sarawak untuk dibangunkan sebagai antara sektor ekonomi utama yang boleh membawa kemakmuran kepada rakyat Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Sarawak di sini hari ini.


Beliau berkata Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) negeri menetapkan tiga inisiatif utama untuk memacu industri ini.


Inisiatif ini terdiri daripada memperkasakan badan berkuasa pengurusan mineral negeri dan reformasi dasar perlombongan serta rangka kerja kawal selia. 


Selain itu, membangunkan pemetaan geologikal dan memperkemaskan lagi aktiviti perlombongan, meningkatkan lagi aktiviti hiliran dan model perniagaan untuk memacu industri perlombongan. 


Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk melaksanakan kajian keberadaan sumber mineral di kawasan seluas 2,616,422 hektar yang belum pernah diterokai sumbernya bagi melengkapkan data awalan mineral Sarawak.


“Data ini akan membantu kerajaan Sarawak mengenal pasti potensi industri yang berasaskan sumber mineral,” katanya.


Beliau berkata Bahagian Sumber Mineral dan Geosains turut ditubuhkan di bawah kementeriannya pada 22 Feb lepas untuk memberi fokus kepada pembangunan sektor ini, di samping memastikan pelaksanaan pelan-pelan tindakan yang telah disediakan. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post