Belah perut buaya, cari budak hilang


KUCHING: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa membelah perut seekor buaya yang berjaya ditangkap semalam disyaki membaham seorang kanak-kanak lelaki dalam satu kejadian, Sabtu lalu.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, sebanyak 17 jerat buaya dipasang di sekitar kawasan Sungai Nyabut, Kampung Trombol Telaga Air dekat sini, semalam bagi mengesan jasad kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dilaporkan dibaham buaya baru-baru ini.



"Susulan umpan yang dipasang, seekor buaya berjaya dijerat oleh kakitangan Samarahan Crocodile Hunters (SCH) di sini, petang kelmarin," katanya dalam kenyataan hari ini.


Difahamkan, buaya sepanjang 14 kaki itu telah memakan salah satu umpan yang dipasang oleh pasukan pemburu buaya di sekitar kawasan berkenaan.



Sehubungan itu, pasukan SAR bersama agensi berkaitan telah membuat keputusan untuk membelah perut buaya itu hari ini.


Menurut PGO, buaya terbabit telah dibawa ke jambatan Nombor Tiga Sungai Nyabut untuk proses pemedahan sekitar jam 9.15 pagi tadi.



"Bagaimanapun, selepas dibelah, tiada sebarang anggota badan manusia ditemui di dalam perut reptilia berkenaan.


"Justeru itu, operasi SAR akan diteruskan dan umpan juga masih dipasang bagi mencari buaya seterusnya sehingga jasad mangsa berjaya dijumpai," katanya dalam kenyataan hari ini.



Terdahulu, operasi memasang jerat di sekitar kawasan sungai trombol dilakukan sekitar jam 11.55 tengah hari semalam dan turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Batu Lintang serta anggota polis.


Sementara, pada jam 1.20 petang bot BBP Petra Jaya dan BBP Batu Lintang melaporkan telah selesai mengiringi pasukan pemburu buaya memasang umpan atau jerat buaya iaitu sebanyak 17 jerat di sekitar kawasan sungai Trombol. 



Mangsa, Mohammad Adami Moktar, 7, sebelum ini dilaporkan dibaham buaya di Sungai Nyabut, Kampung Trombol Telaga Air sekitar jam 8.30 pagi, pada Sabtu. 



Mangsa ketika kejadian sedang bersama ahli keluarganya duduk di tebing sungai sebelum secara tiba-tiba disambar buaya dan terus hilang di dalam air setelah kejadian tersebut.


Susulan laporan, operasi SAR mangsa telah dimulakan pada Sabtu dengan bantuan pelbagai anggota daripada agensi dan jabatan kerajaan.

Next Post Previous Post