Zuraida 'lompat' lagi, kini masuk Parti Bangsa Malaysia


KUALA LUMPUR-- Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin sekali lagi 'melompat' parti baharu apabila beliau mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).


Memetik laporan Malaysia Kini, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menegaskan bahawa beliau akan tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.


 

Keputusan untuk keluar Bersatu dan menyertai PBM itu katanya diputuskan selepas beliau membuat pertimbangan yang mendalam.


"Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).


"Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya, iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebah negara maju," katanya.


Untuk rekod, PBM merupakan parti baharu yang diterajui Ahli Parlimen Julau Larry Sng.


Parti itu dilancarkan pada 21 Disember tahun lalu.


Difahamkan, dengan penyertaan Zuraida dalam parti itu, PBM kini mempunyai tiga ahli parlimen dan dua ADUN.


Sebelum ini terdapat spekulasi mengatakan Zuraida keluar Bersatu sejak akhir tahun lalu, bersama-sama dengan khabar angin mengenai kepimpinan parti yang tidak sehaluan dengannya.


Malah, spekulasi ini semakin dikukuhkan selepas sebilangan besar anggota Penggerak Komuniti Negara, sebuah NGO yang diketuai oleh sekutu terkenal Zuraida secara rasmi menyertai PBM.


Mengenai jawatannya dalam kabinet, Zuraida berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komoditi.


"Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan perdana menteri," ujarnya.

Next Post Previous Post