Sediakan feri khusus untuk lori sawit, Dr Juanda

Sebuah lori dengan muatan sawit yang lebih muatan 'tersangkut' ketika hendak masuk menggunakan perkhidmatan feri di Batang Igan.

DEBAK—Pihak pengurusan ladang kelapa sawit di kawasan DUN Jemoreng yang menggunakan perkhidmatan feri Batang Igan diminta menyediakan perkhidmatan feri persendirian bagi mengangkut hasil ladang agar tidak mengganggu laluan penduduk kampung dan masyarakat setempat yang menggunakan feri sebagai laluan utama untuk segera ke destinasi masing-masing.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya (gambar sisipan) memberitahu perkhidmatan feri milik syarikat gergasi yang melalui Sungai Batang Igan amat perlu diwujudkan sebagaimana perkhidmatan feri milik syarikat ladang sawit yang melalui Sungai Batang Paloh.

Dr Juanda semasa sidang media di Dewan Gelanggang Futsal Riveria Debak sempena program Jelajah Integriti siri 4/2022 Bahagian Betong, hari ini.

“Kita tahu perolehan dan pulangan hasil syarikat gergasi terbabit dalam perladangan kelapa sawit bernilai berbilion-bilion ringgit, mustahil mereka tidak mampu mewujudkan feri bagi kegunaan mereka sendiri mengangkut hasil ladang dengan lebih cepat dan operasi mereka lebih pantas selain pulangan yang lumayan.

“Kita menerima aduan daripada penduduk setempat, berkenaan jumlah lori yang terlalu banyak yang menggunakan laluan dan perkhidmatan feri sungai Batang Igan menimbulkan keresahan dan kegusaran kepada rakyat yang memerlukan perkhidmatan feri yang sama,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Dewan Gelanggang Futsal Riveria Debak sempena program Jelajah Integriti siri 4/2022 Bahagian Betong, hari ini.

ADUN Jemoreng itu menambah perkhidmatan feri satu-satunya yang bermula seawal 4 pagi itu dikatakan menampung keperluan lori muatan hasil ladang sahaja sehingga tengahari.


“Maksudnya lori ini terlalu banyak dan feri yang disediakan bagi kemudahan orang kampung tiba-tiba digunakan oleh pihak-pihak yang menjalankan bisnes yang besar. Sepatutnya kalau mereka mahu untung lebih, sediakan kemudahan bagi menampung keperluan.

“Walaupun kita sedar, kewujudan syarikat ini telah memberi sedikit sebanyak peluang pekerjaan kepada rakyat setempat tetapi keselamatan rakyat perlu menjadi keutamaan.

“Mohon kepada syarikat gergasi yang punya kemampuan dan ‘super luar biasa’ ini wujudkan feri mereka sendiri, jangan berebut dengan penduduk yang menggunakan laluan tersebut,” tegasnya.

Ketegasan pihak kerajaan dalam menyelesaikan isu lori dikawasan Matu dan Igan ini amat perlu diambil tindakan serius sebelum sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
“Sebelum berlaku sebarang insiden kita mesti ambil tindakan,” ujarnya.

Dr Juanda bersama komuniti sempena program Jelajah Integriti siri 4/2022 Bahagian Betong hari ini.

“Terima kasih kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana telah mengambil tindakan yang segera. Juga kepada pihak PDRM yang turut memastikan peraturan dipatuhi. Selain itu kepada pihak JKR yang telah mengarahkan operator feri agar peraturan yang dikeluarkan oleh JKR sentiasa dipatuhi.

“Saya amat gembira sekiranya pihak JKR bersetuju mencadangkan kepada pihak kerajaan agar syarikat terbabit menyediakan perkhidmatan feri mereka sendiri dan dipihak kita akan menyokong perkara tersebut demi kepentingan bersama.

“Saya difahamkan sebahagian pemandu lori terbabit adalah dari kawasan DUN Jemoreng walaupun majoriti mereka dari luar yang mencari rezeki, kita amat memahami perkara ini.

“Perkara ini, saya menerima keluh kesah daripada peringkat akar umbi berhubung penyelesaian yang harus diambil dan kita perlu membetulkan keadaan,” ujarnya.
Next Post Previous Post