Baru bincang bentuk gabungan, DAP dan PSB sudah bertikam lidah


KUCHING—Tidak sampai tiga minggu selepas mengadakan perbincangan pada 26 April lalu untuk membentuk gabungan parti pembangkang, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) mula bertikam lidah antara satu sama lain.

Terkini, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menerusi laporan The Borneo Post dipetik berkata, beliau membidas tindakan Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh yang mengkritik DAP berhubung pendirian parti itu.

Tegas Pengerusi PH Sarawak itu, beliau binggung dengan perbuatan Soon Koh yang sepatutnya kritikan berkenaan seharusnya dituju Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Realiti dan lanskap politik negara secara keseluruhan menentukan bahawa parti kebangsaan mempunyai kelebihan berbanding mana-mana parti tempatan yang hanya terhad kepada sesebuah negeri.

"Sama ada Soon Koh bersetuju dengan pandangan ini atau sebaliknya, tidak ada keperluan untuk menyerang DAP kerana memegang pandangan sedemikian," kata Chong dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Chong menyeru parti pembangkang di Sarawak berhenti menyokong doktrin parti tempatan yang bersifat berfikiran sempit dan menyemarakkan sentimen kenegerian.

"Dengan menyanyikan lagu parti tempatan yang sama dengan GPS, parti seumpama ini hanya akan membantu mengukuhkan lagi cengkaman kuasa GPS," dakwanya.

“Untuk menumbangkan kerajaan PN/BN/GPS dalam pilihan raya umum akan datang, isu dasar ekonomi negara seharusnya menjadi keutamaan, bagaimana perniagaan akan pulih dan bagaimana pekerjaan dicipta dan diselamatkan," tegas Chong.

Tambahnya, kebanyakan perniagaan dan orang ramai menderita pada masa ini selain nilai ringgit yang rendah berbanding dolar Singapura dan kadar inflasi yang tinggi termasuk peningkatkan kos hidup dan barang binaan.

Beliau mendakwa kerajaan sekarang tidak mempunyai penyelesaian kepada masalah ekonomi dan tidak memberikan hala tuju kepada negara.

Chong berpendapat isu melibatkan rakyat bukanlah sama ada parti itu berasaskan tempatan atau sebaliknya, tetapi parti atau gabungan mana yang mempunyai rancangan holistik dan nasional untuk menetapkan semula negara dan mengeluarkan rakyat daripada kemelut semasa.

“PRU15 akan datang adalah peluang untuk seluruh negara, termasuk Sarawak untuk memperbetulkan dan menetapkan semula,” katanya.

Baru-baru ini, PSB dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) berhasrat untuk menandatangani memorandum persefahamanan (MoU) bagi memberikan tumpuan kepada pembahagian kerusi di antara kedua-dua parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Ahad, MoU tersebut bertujuan mengelakkan pertembungan berlaku di antara kedua-dua parti itu dalam pembahagian kerusi Parlimen pada PRU15.

"Pertemuan hari ini adalah bagi membincangkan tentang pembahagian kerusi kedua-dua parti yang akan bertanding pada PRU15 kelak.

"Kedua-dua parti akan menandatangani MOU bagi mengelakkan pertembungan kerusi yang akan ditandingi seterusnya memastikan representasi parti tempatan di Parlimen Malaysia lebih menyeluruh," kata kenyataan itu.

Pada 26 April lalu, DAP Sarawak dan PSB memulakan rundingan pertama untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha bersatu menentang GPS pada PRU15 kelak.

Difahamkan, perbincangan DAP dan PSB untuk menubuhkan gabungan parti pembangkang masih diteruskan yang dijalankan secara tertutup.
Next Post Previous Post