Lelaki jatuh, polis klasifikasi sebagai kes bunuh

Suspek (enam kiri) ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat di tengah Jalan Boulevard 2A pada 19 Mei. Gambar ihsan PDRM 


MIRI—Polis Miri telah mengklasifikasi semula kes berhubung seorang mayat lelaki dipercayai warga tempatan sebagai bunuh setelah proses bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan teruk di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul menggunakan objek keras.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, pada mulanya kes tersebut disiasat sebagai mati mengejut.


Mayat mangsa ditemui terbaring di tengah jalan di kawasan Jalan Boulevard 2A sekitar jam 7.30 pagi pada 19 Mei lalu.


"Berpandukan kepada hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Miri mendapati mangsa telah meninggal dunia akibat daripada kecederaan teruk di bahagian kepala yang dipercayai dipukul dengan menggunakan objek keras,"ujarnya dalam satu kenyataan akhbar semalam.


Ekoran daripada laporan awal bedah siasat, kes ini telah diklasifikasikan semula dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jelasnya 


Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri (BSJD Miri) telah menemuramah saksi-saksi yang mengenali mangsa bagi mengenalpasti suspek yang terlibat dalam kes ini.


Hasil daripada temu ramah tersebut mendapati seorang lelaki tempatan berumur 30an adalah merupakan orang yang terakhir bersama mangsa sebelum mangsa ditemukan meninggal dunia. 


Susulan daripada maklumat yang disalurkan oleh orang awam, BSJD Miri telah  menggerakan usaha mengesan dan mencari suspek di seluruh bandaraya Miri sehingga berjaya menangkap seorang suspek di kawasan sekitar Pujut Corner pada Sabtu jam lebih kurang 11.45 pagi untuk membantu siasatan. 


Pihak Polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan.


Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Dorairajah A/L Vanaltham di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

Next Post Previous Post