Komuniti dan NGO Dayak digesa sokong PCDS 2030

Uggah (kanan) bergambar bersama pemenang Pertandingan Kumang Gawai 2022 Betong di Dewan Stephen Kalong Ningkan pada Sabtu.

BETONG—Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) diperkenalkan untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira agama, bangsa, latar belakang sosial dan sebagainya.


Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, PCDS adalah cetusan idea Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai membantu memulihkan ekonomi Sarawak daripada impak pandemik Covid-19. 


"PCDS adalah berdasarkan data, inovasi dan teknologi dan ia adalah untuk melonjakkan Sarawak kepada wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030. 


"Sehubungan itu, Komuniti Dayak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) Dayak perlu tahu dan memahami program-program di bawah PCDS 2030 dan mesti mempunyai minat dan komitmen untuk turut serta dalam program ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Gawai Dayak Bahagian Betong 2022 di Dewan Stephen Kalong Ningkan di sini, pada Sabtu. 


Sementara itu, Uggah turut menasihati semua komuniti terutama kaum Dayak agar melibatkan diri dan menyertai mana-mana program yang dikenal pasti di bawah strategi berkenaan. 


“Apabila kita mahu ikan, Empurau atau Semah misalnya, kita mesti tahu dimana luboknya.  Begitu juga apabila kita mencari buah-buahan seperti durian, rambutan misalnya kita mesti tahu dimana kebunnya. 


"Kalau komuniti tidak tahu mengenai PCDS, mereka tidak dapat menyertainya dan akan ketinggalan jika gagal menyertainya,” katanya. 


Berhubung pembangunan di bahagian Betong, Uggah berkata ia antara bahagian dengan agihan kemudahan dan infrastruktur tertinggi di negeri ini.


Bagaimanapun katanya, cabaran seterusnya dalam sektor pembangunan di Betong adalah untuk membangunkan program ekonomi yang sesuai bagi membolehkan rakyat menjana sumber pendapatan. 


Sementara itu, pada malam Gawai tersebut turut menyaksikan pertandingan Kumang Gawai 2022 Betong dengan Ullia Ulanda Rumpang, 23, jurutera projek, muncul sebagi juara. 


Bagi tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Helina Laing Dugat dan Angeline Luyah Wheeler Hersey. 

Next Post Previous Post