Gagal menemui petunjuk, operasi SAR mangsa serangan buaya di Sungai Kampung Kangka, Jalan Sempadi, Lundu ditangguhkan

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mayat seorang lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya di Kampung Kangka, Jalan Sempadi ditangguhkan kerana belum menemui sebarang petunjuk baru.


LUNDU—Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mayat seorang lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya di Kampung Kangka, Jalan Sempadi di sini pada Khamis ditangguhkan pada jam 3.30 petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan bersama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Bagaimanapun katanya, sekiranya terdapat bukti dan petunjuk baharu berhubung kejadian, operasi SAR akan diaktifkan semula nanti.



Sementara itu, operasi SAR memasuki hari keempat hari ini bagi mencari bahagian anggota badan mangsa yang berusia 56 tahun itu telah dimulakan pada jam 9.44 pagi.


Operasi SAR yang dijalankan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu semalam turut dibantu 37 penduduk kampung, enam anggota PDRM serta dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).


Namun begitu, usaha pencarian tetap menemui jalan buntu dan operasi ditangguhkan.


Terdahulu, mangsa, Sebarang Bingkok, dilaporkan hilang di Sungai Kampung Kangka di sini pada Khamis lalu sekitar jam 3 petang dipercayai menjadi mangsa serangan buaya ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.



Ketua Polis Daerah (KPD) Lundu, Dsp Damatarius Lautin yang mengesahkan kejadian berkata, ia susulan cebisan anggota badan iaitu kepala mangsa ditemui hanyut oleh anak saudaranya sendiri pada hari kejadian.


"Sekitar jam 3 petang, pengadu, Kaloi Bengkok yang merupakan adik mangsa telah dimaklumkan oleh anak saudaranya berhubung kejadian mangsa yang dilaporkan hilang di tempat kejadian," katanya.


Sehubungan itu, pada jam 5 petang, anak saudara mangsa, Eliyanna Jemat bersama abangnya Hendri Isa Jemat pergi menyusuri Sungai Kangka menaiki perahu untuk mencari mangsa. 


Katanya, sekitar satu kilometer jarak dari pangkalan di kampung itu, mereka telah menjumpai bahagian kepala mangsa yang hanyut dibawa arus, dipercayai dibaham buaya.


"Sejurus penemuan itu, ahli keluarga mangsa tampil membuat laporan polis manakala bahagian kepala mangsa telah dibawa ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut. 


"Sehubungan itu, operasi SAR mangsa diaktifkan pada Jumaat lalu sekitar jam 8 pagi bagi mencari bahagian anggota badan lain milik mangsa," katanya.

Next Post Previous Post