Budak lelaki disambar buaya depan ibu saudara

Bibah Arop menceritakan detik ngeri yang menimpa anak saudaranya disambar buaya semasa sedang duduk di tepi sungai berhampiran Kampung Nyabut, Telaga Air di sini pagi tadi. Sehingga kini nasib Mohd Adami Mokhtar,7, belum diketahui.

KUCHING— “Mangsa sedang duduk mencangkung di tebing sungai ketika buaya tiba-tiba muncul lalu menyambar mangsa,” kata Bibah Arop, 48 menceritakan kejadian yang menimpa anak saudaranya di sungai berhampiran Kampung Nyabut, Telaga Air pagi tadi.


Bibah memberitahu jarak antara dia dengan mangsa Mohd Adami Mokhtar,7, semasa kejadian ialah kira-kira 10 meter.


“Semasa kejadian, kedua-dua kakak mangsa berumur 11 dan 12 tahun turut bermain berhampiran dengan mangsa di tepi sungai,” katanya dalam laporan polis berhubung tragedi itu.


Anggota bomba dan penduduk kampung giat mencari mangsa yang di sungai berhampiran Kampung Nyabut, Telaga Air hari ini.


Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan pihaknya ada menerima laporan.


Katanya, anggota gerakan telah menerima panggilan kecemasan dari seorang pengadu wanita yang  memberitahu anak saudaranya telah dibaham buaya di sungai kampung tersebut. 


“Anggota gerakan telah menghubungi semula saksi tersebut dan mengesahkan kejadian yang berlaku pada hari ini kira-kira jam l8.30 pagi.


“Anggota saya sudah berada di lokasi, saya akan berikan perkembangan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi.



Beliau menambah, sepasukan polis Padawan menggunakan Unit Kereta Peronda (MPV) diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Lim Jaw Shyong telah bergegas ke lokasi kejadian.


Turut berada di lokasi ialah anggota polis dari Batu Kawa.


Selain itu, pasukan bomba  bersama satu aset bot dengan sembilan kekuatan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian. Turut membantu sebuah bot pihak kampung untuk mengesan mangsa di tempat kejadian.



Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak berkata, pihaknya sedang berusaha menghubungi pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi mendapatkan bantuan Pasukan SWAT SFC.


Katanya, Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan mangsa dibaham buaya.


Borneo Network difahamkan, mangsa yang disambar buaya lalu hilang selepas disyaki ditarik ke dalam air.


PGO Sarawak telah mengarahkan keluaran BBP Petra Jaya ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut. 


Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) juga telah dimaklumkan arahan untuk bersedia. 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.