Benarkan butiran palsu pada sijil kelahiran, buruh kontrak didenda RM3,000

Tertuduh (kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini. Gambar oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO

IPOH, 18 Mei—Seorang buruh kontrak didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membenarkan catatan palsu dalam daftar kelahiran seorang bayi perempuan, dua tahun lepas.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Ridzuan Chan Abdullah, 49, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan jika dia gagal membayar denda. Dia membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa telah membenarkan catatan palsu dalam daftar kelahiran seorang bayi perempuan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan UTC Ipoh di sini pada 11 pagi, 10 Sept 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1)(c) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Hisam Saruddin memohon hukuman setimpal dikenakan kerana bayi itu bukan dilahirkan isteri tertuduh sebaliknya rakan isteri tertuduh, seorang warga Indonesia.

Peguam G Harbhajan Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.