Jalan Pukak-Pahu-Nulu Kiulu ditutup akibat tebing runtuh

Jalan Pukak-Pahu-Nulu Kiulu ditutup akibat tebing runtuh. Gambar kredit JKR Sabah

KOTA KINABALU—Kilometer 19.2 Jalan Ranau-Kiulu ditutup sementara selepas berlaku runtuhan tebing di kawasan berkenaan akibat hujan lebat petang semalam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan orang awam yang menggunakan Jalan Kiulu- Rondogung menghala Ranau disarankan mengikut laluan alternatif di Jalan Tamparuli-Ranau.

"Lokasi tebing yang runtuh adalah di Jalan Pukak-Pahu-Nulu di Kilometer 19.2. Ia ditutup 12 tengah malam tadi selepas JKR menerima aduan berhubung kejadian berkenaan," menurut kenyataan itu hari ini.


Menurut kenyataan itu, runtuhan berkenaan berlaku kira-kira 3 petang semalam dan laluan ditutup atas faktor keselamatan pengguna.

Berikutan itu, pengguna jalan raya khususnya di kawasan berkenaan disarankan untuk menggunakan jalan alternatif Tamparuli-Ranau-Tamparuli (Tamparuli - Tomis - Tiong - Lokub) bagi mengelak kejadian tidak diingini dan diminta agar sentiasa berhati-hati.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata sejurus menerima aduan kejadian bencana kegagalan cerun yang terletak di kawasan berkenaan, beliau telah  menghubungi Jurutera Daerah JKR Tuaran untuk menutup jalan berkenaan.

"Walaupun saya berada di luar negara pada ketika ini namun saya senentiasa memantau perkembangan di kawasan parlimen saya. Puan Jurutera Daerah juga memaklumkan kepada saya bahawa pihak konsesi yang bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan jalan raya tersebut," tambahnya dalam kenyataan berasingan.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.