Mayat ditemukan terapung bukan milik kru kapal yang jatuh laut di Pulau Burong, Sebuyau

Pasukan menyelamat mengangkat mayat lelaki warga Indonesia yang ditemukan terapung di Sungai Beliong, Asajaya petang tadi.

KUCHING—Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak memaklumkan mayat yang ditemukan terapung di Sungai Beliong, Asajaya petang tadi bukan milik seorang kru kapal yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh laut di sekitar perairan Pulau Burong, Sebuyau.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus menjelaskan mayat tersebut yang ditemukan sekitar jam 2.17 petang di Sungai Beliong, Asajaya milik seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang di sekitar Sungai Lingga pada 18 April yang lepas.

"Berikutan itu OP CARILAMAT akan diteruskan untuk hari keempat pencarian pada esok dengan mengekalkan Jeti Awam Sebuyau sebagai Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) dan turut melibatkan aset-aset dari Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Sarawak Coast Guard (SCG)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai OP CARILAMAT hari ketiga hari ini, Zin Azman berkata, sektor pencarian diperluas ke 85.14 batu nautika persegi  meliputi perairan Pulau Burong, Sebuyau.

Jelasnya, OP CARILAMAT ini melibatkan Maritim Malaysia Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, JBPM, APM dan SCG dengan keseluruhan kekuatan seramai 50 anggota dan turut dibantu oleh bot orang awam.

"Aset terlibat bagi pencarian pada hari ini adalah daripada Maritim Malaysia bot KILAT 22, satu bot Aluminium MKN/04 (JBPM), satu bot Aluminium (APM) dan juga satu bot SC Terubok (SCG) bagi pencarian di laut.

"Keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian agak baik dengan kelajuan angin 10 hingga 20 kilometer sejam serta ombak dengan ketinggian 0.5 hingga 1.0 meter," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa komuniti maritim agar pastikan bot dalam keadaan baik dan batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.

"Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan," tegas beliau.

Menurutnya lagi, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544/432016 yang beroperasi 24 jam.
Next Post Previous Post