Kuku beruang, tanduk rusa, kuku helang antara bahagian hidupan liar dirampas di Miri

Bahagian hidupan liar termasuk beg tangan diperbuat daripada kulit rusa. Gambar kredit FB Sarawak Forestry Corporation

MIRI-- Pasukan Penguatkuasaan dan Perlindungan Sarawak Forestry Corporation (SFC) Miri bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Miri berjaya melumpuhkan pemerdagangan bahagian hidupan liar yang berselindung di sebalik premis menjual kraf tangan di sini hari ini.

Jurucakap SFC dalam kenyataan berkata, kejayaan itu menerusi Operasi Patuh yang dijalankan melibatkan empat premis kraf tangan di sekitar Bandar Miri.

Pasukan penguatkuasaan SFC sedang melaksanakan Operasi Patuh melibatkan empat premis kraf tangan di sekitar Miri hari ini. Gambar kredit FB Sarawak Forestry Corporation

“Rampasan melibatkan beberapa bahagian hidupan liar termasuk spesies dilindungi dan dilindungi sepenuhnya," katanya.

“Antara barangan yang disita termasuk lebih 511 bahagian burung merak, 148 kuku beruang, 17 tanduk rusa, 14 kuku helang dan sebuah beg tangan yang diperbuat daripada kulit rusa. 

Tanduk rusa yang dirampas. Gambar kredit FB Sarawak Forestry Corporation

Tegasnya, menjual dan memiliki hidupan liar adalah satu kesalahan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

"Kesemua barang rampasan tersebut di bawa ke pejabat SFC wilayah Miri untuk tindakan lanjut," jelasnya. 

Pasukan penguatkuasaan SFC sedang melaksanakan Operasi Patuh melibatkan empat premis kraf tangan di sekitar Miri hari ini. Gambar kredit FB Sarawak Forestry Corporation

Sehubungan itu, SFC meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan menangkap, memburu, berniaga atau memelihara hidupan liar yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya boleh menghubungi talian hotline SFC di talian 019-8859996 (SFC Kuching), SFC Sibu 019-8883561, SFC Bintulu 019-8332737 dan SFC Miri 019-8290994.
Next Post Previous Post