Jambatan Sungai Tutoh: Derita rakyat berakhir hujung tahun ini

Gambar tangkap layar kenderaan pacuan empat roda menyeberangi Sungai Tutoh dengan bantuan jengkaut.

MIRI— “Kalau saya dapat, semalam sudah saya bina itu jambatan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau.
 
Beliau berkata demikian menjawab persoalan netizen mengapa tiada jambatan dibina merentasi Sungai Tutoh sehingga penduduk di kawasan Telang Usan, Mulu dan Batu Danau terpaksa meredah arus deras Sungai Tutoh untuk meneruskan perjalanan ke Miri yang viral di media sosial semalam.
 
Menurut Dennis, usaha membina baharu jambatan lama yang musnah akibat banjir pada tahun lepas sedang direaliasikan dan kini menunggu masa untuk dilaksanakan.
 
“Jambatan baharu ini akan dibina di kawasan berhampiran jambatan yang lama. Apabila siap nanti, ia akan memanfaatkan penduduk di lebih 20 kampung sekitar Telang Usan, Mulu dan Batu Danau,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Jambatan Sungai Tutoh yang musnah selepas dihanyutkan banjir tahun lepas.

Selain itu kerajaan turut meluluskan pembinaan jambatan merentasi Sungai Paong ke Long Apu di Ulu Tinjar, yang turut dihanyutkan banjir.
 
“Kedua-dua jambatan ini musnah pada masa yang sama tahun lepas. Saya sudah meminta projek ini dilaksanakan oleh Samling dan difahamkan mereka kini dalam peringkat awal reka bentuk.
 
“Kita tidak laksanakan mengikut sistem tender terbuka. Banyak banyak projek sakit. Kalau dapat, semalam sudah saya buat jambatan itu tidak perlu menyusahkan rakyat,” katanya.


Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengeluarkan Surat Hasrat (Letter of Intent) kepada syarikat Samling untuk membina jambatan baharu itu.
 
“Jika tiada kesulitan, Jambatan Tutoh ini dijangka siap pada penghujung tahun ini.
 
“JKR turut membina sebuah lagi jambatan di kawasan Sungai Paong yang mengalami kerosakan dan kemusnahan akibat banjir. Jambatan ini dalam proses buat reka bentuk dengan peruntukan RM3 juta,” katanya dipetik Utusan Borneo.

 
Sementara itu semalam telah tular di media sosial video pemandu kenderaan pacuan empat roda menyeberangi Sungai Tutoh dengan bantuan jengkaut ketika merentasi Sungai Tutoh yang mengalir deras.

Utusan Borneo melaporkan, penduduk dari Lawas terpaksa bergadai nyawa meredah arus deras Sungai Tutoh Baram demi meneruskan perjalanan balak ke Miri ekoran ketiadaan jalan raya menghubungkan daerah itu ke Miri.
Next Post Previous Post