Siar azan maghrib awal, penyampai stesen radio di Tawau mohon maaf

Ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu. Gambar hiasan kredit unsplash

TAWAU—Seorang penyampai stesen radio tempatan di sini tampil memohon maaf berikutan kesilapannya menyiarkan azan maghrib empat minit lebih awal di daerah ini.

Mohd Safwan Junit menerusi akaun Facebooknya Mohd Safwan menjelaskan berlaku kesilapan teknikal dengan penyiaran dua kali azan maghrib iaitu pada 6.16 petang dan 6.20 petang.

"Saya, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu telah melakukan kesilapan teknikal yang mana azan maghrib disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.

"Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya, menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu," katanya.

Sehubungan itu, beliau secara peribadi dan rendah hati memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan situasi tidak diduga itu.

Sementara itu Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif ketika dihubungi Bernama berkata perkara itu perlu dirujuk Mufti Sabah Datuk Bungsu Jaafar untuk maklumat dan tindakan lanjut, namun Bungsu sehingga berita ini ditulis masih tidak memberikan sebarang jawapan.

Hari ini merupakan hari pertama umat Islam menunaikan ibadah puasa Ramadan.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.