GPS lemah, pilih kerjasama dengan UMNO, PAS dan BERSATU - Chong

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen

KUCHING: Kelemahan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah memilih membentuk perikatan dan bekerjasama dengan parti-parti yang menyokong perkauman dan ketaasuban agama seperti UMNO, PAS dan BERSATU.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, walaupun dengan kekuatan GPS yang memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, tetapi mereka masih perlu bergabung tenaga dengan parti-parti nasional lain.

Ini katanya agar GPS dapat memberi impak dan jejak dalam politik negara untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

"Kelemahan GPS adalah memilih untuk membentuk perikatan dan kerjasama dengan parti-parti yang menyokong perkauman dan ketaasuban agama iaitu UMNO, PAS dan BERSATU," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Chong, tidak dinafikan sentimen kenegerian sangat kuat pada PRN Sarawak lepas.

Bagaimanapun, katanya, keputusan dalam PRN Sarawak lepas juga menunjukkan bahawa perjuangan politik kenegerian semata-mata tidak akan mendapat membawa parti ke mana-mana.

"Pada PRN Sarawak lepas, PSB bertanding 70 kerusi tetapi menang 4 manakala DAP bertanding 26 kerusi memenangi 2.

"Calon-calon parti pembangkang tempatan yang lain kalah dengan kebanyakan mereka kehilangan wang deposit pilihan raya," jelasnya.

Sehubungan itu, kata Chong untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU), strategi perlu disusun dan pada masa sama menangani sentimen kenegerian dan isu parti tempatan.

"Kepentingan sebuah parti nasional dengan landasan nasional tidak boleh diabaikan. Ini lebih-lebih lagi apabila kita bercakap tentang politik negara dalam PRU.

"Dengan semua ahli jawatankuasa DAP Sarawak adalah rakyat Sarawak dan mempunyai autonomi ke atas perkara-perkara di Sarawak, DAP Sarawak adalah tempatan seperti mana-mana parti tempatan, tetapi dengan kelebihan mempunyai platform nasional dan sokongan parti nasional yang utuh.

"Hanya melalui platform nasional inilah kita boleh mengubah dan membentuk dasar negara dan masa depan negara kita," ujarnya.

Berikutan itu, tegasnya, parti pembangkang di Sarawak perlu bekerjasama bagi menghadapi PRU akan datang.

Katanya, DAP akan mengadakan pertemuan di Sibu pada esok hari (5 April) bagi membincangkan kemungkinan untuk mengadakan kerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri ini.
Next Post Previous Post