Enam anak Sarawak jadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja


KUCHING-- Sebanyak enam laporan polis diterima setakat ini berhubung kes penipuan pekerjaan melibatkan rakyat Sarawak di Kemboja, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Beliau memberitahu laporan itu dibuat oleh ahli keluarga mangsa yang mendakwa ahli keluarga mereka telah ditipu untuk bekerja di Kemboja pada 20 April 2022 dan 22 April 2022.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa-mangsa telah ditawarkan peluang pekerjaan di Kemboja oleh ejen pekerjaan (suspek).

"Mangsa-mangsa kemudian telah pergi ke Kemboja dan setelah berada di sana, mereka berasa telah diperdaya setelah dipaksa untuk melakukan kerja-kerja penipuan melalui panggilan telefon," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK) di sini hari ini.

Berikutan dengan itu, jelas beliau Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkenaan kes ini.

"Sehingga kini seramai enam mangsa, kesemua lelaki berusia antara 19 hingga 39 tahun yang terlibat adalah dari daerah Kuching dan Padawan.

"Bahagian urusetia/perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman akan mengambil tindakan melalui Interpol Bukit Aman di bawah 'Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002' untuk mengesan ngsa-mangsa di kemboja dan seterusnya menjalankan tangkapan ke atas ejen pekerjaan yang terlibat," dedahnya.

Sehubungan itu, Mohd Azman menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya tawaran iklan kerja melalui laman sesawang atau media sosial.

Tegasnya, ini kerana sindiket lazimnya akan mengiklankan tawaran kerja di dada akhbar, Facebook, aplikasi Whatsapp dan aplikasi Wechat dengan menawarkan gaji yang lumayan serta pelbagai kemudahan bagi menarik minat orang ramai untuk menghubungi mereka.

"Taktik ini digunakan untuk menjerat mangsa supaya berkerja dengan syarikat atau individu tertentu tanpa melalui proses pengambilan yang rumit.

"Pekerjaan yang ditawarkan menjanjikan pendapatan atau gaji yang lumayan tanpa disedari, tawaran tersebut hanya menjadikan mereka sebagai umpan bagi sindiket penipuan bagi mengaut keuntungan yang berlipat ganda," ujarnya.

Oleh itu, katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu seperti latar belakang syarikat dan individu tersebut sebelum menerima kerja yang ditawarkan.

"Hubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) infoline di talian 013-2111222 (whatsapp/sms) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian.

"Selain itu layari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp.gov.my), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (ccid.rmp.gov.my) dan facebook jabatan siasatan jenayah komersil sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung modus operandi kes penipuan," tambahnya.
Next Post Previous Post