666 kes dengan kerugian hampir RM18 juta direkod dalam tempoh 3 bulan di Sarawak


KUCHING-- Sarawak merekodkan 666 kes jenayah komersial dalam tempoh tiga bulan tahun ini yang menyaksikan kerugian mencecah hampir RM18 juta, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Jelasnya, jumlah kes itu bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2022, turut mencatatkan peningkatan 26 kes atau 27.45 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 640 kes.

"Kerugian jenayah komersial bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM17.8 juta bagi tahun 2022, manakala bagi tempoh sama tahun 2021, adalah sebanyak RM15.3 juta iaitu peningkatan sebanyak RM2.5 juta atau 16.34 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, antara kes jenayah komersial adalah jenayah penipuan, pecah amanah, jenayah siber, pemalsuan, pemberi pinjam wang tanpa lesen (Ah Long), wang palsu dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, kes jenayah komersial yang melibatkan mangsa paling ramai di Sarawak serta kerugian akibat jenayah tersebut adalah pelaburan iaitu 50 kes dengan kerugian RM 2.6 juta.

"Ini diikuti menyamar 85 kes dengan kerugian RM1.8 juta, Macau Scam 48 kes dengan kerugian RM 1.7 juta, tawar pekerjaan 58 kes dengan kerugian RM786,000 dan tipu pinjaman tidak wujud 63 kes dengan kerugian RM419,000.

"Usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak bagi membendung jenayah komersial di negeri ini telah menghasilkan sebanyak 141 tangkapan bagi 2022.

"Seramai 405 orang (termasuk dari kes-kes tahun sebelum) telah dituduh di Mahkamah.

"Pertuduhan tersebut melibatkan 361 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan keseluruhan sebanyak 610 dengan jumlah peratusan pertuduhan ketiga tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 56.41 peratus," dedahnya.

Selain itu, beliau memberitahu JSJK Sarawak telah berjaya menumpaskan beberapa sindiket seperti Sindiket Penipuan Pelaburan melibatkan empat suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 27 sehingga 58 tahun.

Jelasnya, sindiket ini telah memperdayakan 15 mangsa dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.7 juta.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah komersial.
Next Post Previous Post