CEO antara lapan individu ditahan kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion
Salah seorang daripada individu yang ditahan diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah. Gambar kredit SPRM |
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka disyaki terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek GLC berkenaan antara 2017 hingga 2021.
Sumber itu berkata CEO itu bersama lima yang lain ditahan di ibu pejabat SPRM di sini manakala dua lagi termasuk seorang pemilik syarikat ditahan di SPRM Sarawak semalam, selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.
Gambar kredit SPRM |
SPRM hari ini membuat permohonan reman terhadap enam individu di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini dan dua individu di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.
CEO itu dan seorang lagi individu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini manakala empat lagi direman lima hari selepas permohonan reman itu dibenarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Sementara di Mahkamah Majistret Kuching, Majistret Zubaidah Sharkami membenarkan permohonan reman lima hari terhadap pemilik syarikat, dan reman dua hari terhadap seorang pengarah syarikat kejuruteraan.
Susulan penahanan itu, sumber SPRM itu berkata 12 akaun syarikat dan individu dibekukan selain beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 kenderaan mewah, pelbagai mata wang tunai, jongkong emas, jam tangan mewah dan beg tangan mewah.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA