Penyamun nyenyak tidur selepas ceroboh rumah sewa

Suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut. Gambar kredit PDRM

MIRI -- Seorang suspek pecah rumah yang keletihan ditemukan sedang tidur nyenyak di atas lantai sebuah bilik sewa di Jalan Haji Lampam di sini awal pagi Jumaat.

Penemuan dilakukan penyewa bilik sewa tersebut yang baru sahaja pulang dari tempat kerjanya sekitar jam 8 pagi.

Dipercayai, suspek berusia 25 tahun itu telah memecah masuk ke bilik mangsa tengah malam tadi sebelum tertidur.

Pihak polis telah segera dimaklumkan mengenai kejadian.

Suspek telah ditahan dan di bawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Turut ditemui pada suspek ketika ditangkap beberapa peralatan pecah rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seskyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Next Post Previous Post