Fadillah yakin penubuhan sayap baharu PBB wajar disokong semua ahli


KUCHING: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yakin penubuhan sayap baharu khas buat belia Bumiputera Sarawak yang berumur 18 hingga 28 tahun (1828) wajar diberi sokongan semua ahli parti itu termasuk rakyat di negeri ini.

Menteri Kanan Kerja Raya itu memberitahu hal ini kerana ia akan membantu Sarawak dalam menjamin masa depan yang lebih cerah.

"Setelah mendengar taklimat semalam oleh pihak Jawatankuasa Gerak PBB 1828, saya yakin penubuhan sayap baharu PBB 1828 wajar diberi sokongan oleh ahli parti sedia ada dan semua pihak yang terlibat," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini. 

 
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, mungkin ada dalam kalangan rakyat Sarawak masih belum mendengar tentang penubuhan sayap baharu itu.

"Mungkin ada yang sudah mendengar khabar berita, mungkin ada yang masih belum.

"Bagi yang belum tahu, PBB akan menubuhkan sayap baharu khas buat belia Bumiputera Sarawak yang berumur 18 hingga 28.

"Inisiatif ini diumumkan Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) pada 9 Januari yang lepas," jelasnya. 


Tambahnya, ia adalah salah satu usaha parti untuk menarik minat orang muda tempatan untuk melibatkan diri dalam politik.

Selain itu, katanya ia juga sebagai wadah kepimpinan untuk menerajui Sarawak.


"Bagi anak-anak kita yang mahu mendaftar dan berminat, jemput daftar di sini, https://gerakpbb1828.com," ujarnya.

Sebelum ini, Abang Johari memberitahu, cadangan tersebut dan nama sayap itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Agung Parti PBB yang diadakan pada Jun nanti.
Next Post Previous Post