Babi disembelih luar premis di Miri dari sumber dibenarkan, Dr Rundi

Bahagian menjual daging babi di Pasar Besar Krokop lenggang dengan sebahagian gerai masih ditutup.

MIRI— Hasil pemantauan dan persampelan penyembelihan daging babi di luar premis yang dibenarkan di Miri mendapati ia diperolehi secara sah daripada sumber yang dibenarkan.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Miri telah menerima beberapa aduan berkenaan penyembelihan babi di luar premis yang dibenarkan sejak penutupan rumah sembelih babi di Krokop, Miri pada 6 April lalu.

“Siasatan mendapati daging babi tersebut diperolehi secara sah.

“Justeru warga Miri tidak perlu risau kerana bekalan daging yang ada di pasaran adalah selamat untuk dimakan dan bekalan mencukupi bagi perayaan Gawai akan datang” katanya menerusi kenyataan semalam.

Mengulas perkara ini, Dr Rundi memberitahu rumah sembelihan akan dibuka lebih awal sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Veterinar Sarawak.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 62, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 penyembelihan perlu dilakukan di premis yang dilesenkan oleh Penguasa Veterinar Negeri.

“Mana-mana pihak yang didapati mengingkari seksyen tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
 
Pada ketika ini, jabatan membenarkan pergerakkan daging babi dari Sibu, Samarahan dan Kuching bagi menampung permintaan di Bahagian Miri.

Sementara itu tinjauan di Pasar Besar Krokop hari ini mendapati bahagian menjual daging itu lenggang dengan hanya beberapa gerai sahaja yang beroperasi.

Rumah penyembelihan milik Majlis Bandaraya Miri (MBM) di Krokop 2 itu telah ditutup di bawah arahan Jabatan Perkhidmatan Veteriner Negeri selepas dikesan jangkitan Demam Babi Afrika (ASF).

Difahamkan ia ditutup sehingga 6 Jun bagi mengekang penularan penyakit itu.
Next Post Previous Post