Salang sah Presiden PRS, Sikie tarik diri

Datuk Joseph Salang 

KUCHING—Pemangku Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang akan menerajui parti itu, menggantikan mendiang Tan Sri James Masing yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung tahun lepas, kata Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan malam ini.

Memetik laporan Malay Mail yang disiarkan The Borneo Post Naib Presiden PRS Datuk John Sikie Tayai yang sebelum ini menyerahkan nama untuk bertanding jawatan tersebut pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) yang bermula esok, memutuskan untuk tidak meneruskan hasrat berkenaan.

Sikie, ADUN Kakus dan Salang bekas Ahli Parlimen Julau, merupakan dua pemimpin parti yang menghantar borang penamaan mereka kepada Ibu Pejabat PRS.

"Majlis tertinggi parti telah memutuskan bahawa tiada pertandingan bagi kesemua jawatan dalam parti," kata Snowdan.

Beliau berkata, majlis tertinggi parti juga memutuskan bahawa Salang akan mengambil alih jawatan Presiden untuk tempoh tiga tahun dan semua ahli parti harus menghormati keputusan tersebut.

"Selepas tamat tempoh tiga tahun, mana-mana ahli parti boleh bertanding untuk mana-mana jawatan yang mereka mahu," tambahnya.

Tegas Snowdan, apa yang menjadi kebimbangan mereka adalah pertandingan bagi semua jawatan pada TDC ini akan menjejaskan persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambahnya, jika pertandingan bagi kesemua jawatan diteruskan pada TDC ini, sudah tentu akan menyebabkan krisis kepimpinan dan melemahkan parti seperti mana yang berlaku kepada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebelum ini.

Untuk rekod, PRS ditubuhkan selepas PBDS dibatalkan pendaftaran berikutan krisis kepimpinan parti.

Snowdan berkata, ADUN Samalaju Datuk Majang Renggie, yang juga Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan akan menjadi Timbalan Presiden baharu PRS.

Sementara Sikie katanya akan kekal sebagai salah seorang daripada empat Naib Presiden PRS.

Katanya lagi, jawatan ahli majlis tertinggi parti juga tidak akan dipertandingkan.

Menurut Snowdan, beliau juga akan terus memegang jawatan Ketua Pemuda selepas ADUN Murum Chukpai Ugon memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding.

Ketua Wanita PRS Datuk Doris Brodie juga akan kembali memegang jawatan tersebut.

PRS akan mengadakan TDC dari 21 hingga 24 April ini di Sibu.
Next Post Previous Post