Apa motif DAP Sarawak desak turunkan harga minyak dan gas?

  


Petrol, Diesel dan LPG mahal: Rakyat Indonesia, Filipina, Thailand cemburui harga Malaysia – DAP pula mahukan harga di Sarawak diturunkan lagi?


Semua orang tahu, harga bahan-api serta keperluan utama rakyat di seluruh dunia semakin tinggi, serta mencekik golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar.


Kita di Malaysia, terutama sekali rakyat di Sarawak masih bernasib baik berbanding warga di beberapa buah negara tetangga kita.

 


LPG di Indonesia cecah RM60 setong 12kg, Malaysia masih bawah RM30 14kg

 

CNBC Indonesia, pada hari Selasa melaporkan Syarikat PT Pertamina (Persero) menyarankan pengguna membeli gas petroleum cecair (LPG) tanpa subsidi melalui pembekal rasmi yang sudah dilantik, susulan tindakan peruncit menaikkan harga RM60 setong 12 kilogram.


Pertamina Call Center 135 mendapati, harga LPG 12 Kg (tong biru) bagi wilayah Tapos, Depok sepatutnya dijual dengan harga sekitar RM55 setong manakala LPG 5.5 Kg RM26 setong.


Tinjauan di kedai runcit sekitar Bekasi pula mendapati, LPG itu dijual dengan harga lebih mahal sehingga RM60 setong, di kawasan Tangerang sekitar RM57hingga RM59 setong manakala daerah Cibubur, Depok RM59 setong.


Seorang pengguna LPG 12 Kg, Aida Sari dari Cibubur berkata, beliau tiada pilihan terpaksa membeli dengan harga yang mahal.


“Saya tiada pilihan lain walaupun harganya mahal. Sudah nama keperluan, terpaksalah membeli kerana perlu memasak.


“Saya memilih LPG 12 Kg berbanding LPG 3 Kg kerana ia lebih tahan lama walaupun menjejaskan perbelanjaan,” kata ibu dua anak itu.


Untuk rekod, Pertamina telah menaikkan harga LPG 5Kg dan LPG 12 KG tanpa subsidi sebanyak dua kali dalam tempoh tiga bulan sejak Disember 2021.


Hasut semata-mata tiada isu lain


Sementara itu di Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong menegaskan setiap rakyat Sarawak berhak untuk menikmati hasil sumber kekayaan minyak dan gas negeri dengan harga yang lebih rendah bagi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) yang dijual melalui Petroleum Sarawak Berhad (Petros).


Beliau berkata, rakyat Sarawak berhak nikmati harga petrol dan LPG lebih murah.


“Sarawak dan rakyatnya tidak boleh terus 'berputih mata' dalam menikmati hasil pengurusan dan pembangunan sumber minyak dan gas negeri ini.


Violet memberitahu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga telah berjanji tentang ini kepada rakyat Sarawak semasa salah satu acara pelancaran Petros yang diadakan sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-12.


Menurutnya, Abang Johari mengatakan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya menang besar pada pilihan raya negeri, beliau akan mencari cara untuk membolehkan rakyat Sarawak menikmati harga silinder LPG istimewa.


“Diharap Premier Sarawak tidak lupa pada janjinya tetapi komited untuk menunaikan janji itu. Lagipun GPS sudah memenangi lebih dua pertiga majoriti pada pilihan raya negeri lalu dan diberi mandat untuk mentadbir Sarawak,” katanya lagi.

Perbezaan besar harga, buka ruang aktiviti penyeludupan


Harga runcit petrol RON95 di Malaysia pada kadar RM2.05 seliter adalah sangat rendah berbanding harga runcit petrol di negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara jiran, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Beliau berkata ketika ini, harga runcit petrol di Arab Saudi adalah RM2.59 seliter dan di Indonesia mencecah RM3.74 seliter, manakala negara jiran Thailand (RM5.63 seliter) dan Singapura (RM9.16 seliter).


"Perbezaan besar antara harga runcit petrol dalam negara berbanding negara jiran akan membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan petrol," katanya


Pergolakan antara Rusia dan Ukraine, harga minyak mentah dunia telah naik mendadak ke paras melebihi AS$100 setong iaitu paras tertinggi sejak 2014.


Berikutan kenaikan ini, jumlah subsidi petrol, diesel dan LPG dijangka melebihi RM2.5 bilion sebulan.



Penyeludup semakin berani


Semalam kita menerima laporan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 60,000 liter minyak petrol bernilai RM624,000 ke Filipina dengan penahanan enam lelaki berhampiran Pantai Kampung Bakarat dekat Lahad Datu, Isnin lepas.


Komander ATB 2 Brig Jen Abdul Karim Ahmad berkata penahanan lima lelaki tempatan dan seorang warga Filipina berusia 23 hingga 54 tahun itu dilakukan selepas lapan anggota tentera serta dua polis yang melakukan rondaan Op Pasir Sektor Delta menemukan tiga lori tangki minyak dalam keadaan mencurigakan pada 11.30 pagi. 


"Semua lori itu tersangkut di laluan berlumpur di ladang kelapa sawit berdekatan pantai Kampung Bakarat dan mencurigakan kerana menggunakan laluan lain untuk membawa barang kawalan terbabit selain anggota bertugas juga menyedari kehadiran kapal tongkang yang berlabuh tidak jauh dari lokasi itu. 


"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan kesemua suspek yang gagal mengemukakan permit atau kebenaran untuk membawa barang kawalan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan hari ini.


Abdul Karim berkata keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM1.15 juta merangkumi 60,000 liter minyak petrol bernilai RM624,000, tiga lori tangki minyak bernilai RM400,000 serta sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bernilai RM128,000.



KPDNHEP jaga rakyat, hulurkan subsidi

Untuk rekod, harga runcit LPG adalah RM1.90 sekilogram (kg) atau RM19 bagi silinder 10kg, RM22.80 bagi silinder 12kg dan RM26.60 bagi silinder 14kg.


"Harga sebenar pasaran LPG adalah lebih tinggi daripada harga yang diwartakan ini.


"Pada ketika ini, kerajaan sedang menanggung perbezaan harga itu melalui subsidi. Harga yang dibayar oleh pengguna sebenarnya lebih rendah daripada harga pasaran," Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Malah, Alexander kebetulan Anak Sarawak berasal dari Kapit menegaskan bahawa Kerajaan memperuntukkan RM680 juta bagi Program Penyeragaman Harga, Program Penstabilan Harga serta Subsidi

Kerja pegawai KPDHEP di Pedalaman Limbang

Katanya kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk pelaksanaan Program Penyeragaman Harga membabitkan Pengedaran Barang Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan 'Community Drumming’, manakala RM400 juta pula untuk Program Penstabilan Harga Minyak Masak, manakala RM40 juta lagi Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am.


Nanta berkata, melalui program itu, kerajaan akan menanggung kos pengangkutan serta penghantaran bagi membawa tujuh barangan kawalan daripada pembekal di bandar ke kawasan pedalaman terpilih.


"Program ini merangkumi Program Pengedaran Barang Perlu (beras, gula putih peket satu kilogram (kg), tepung gandum kegunaan am peket 1kg/tepung gandum bukan kegunaan am peket 1kg, minyak masak peket 1kg/botol satu liter), LPG dan Community Drumming (petrol RON95 dan diesel).


"Tanpa program ini, barangan berkenaan pasti terpaksa dijual mahal kerana faktor pengangkutan dan 'transporter', yang kini ditanggung oleh kerajaan," lapor Berita Harian.



Seleweng subsidi, denda syarikat sehingga RM2 juta


Menyedari hakikat, minyak bersubsidi merupakan komoditi panas,individu atau pengusaha stesen minyak yang didapati menjual minyak Petrol RON95 kepada warga asing bakal berdepan denda sehingga RM1 juta, tegas Nanta.


Jelasnya, tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.


"Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000  bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


"Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000," katanya dalam kenyataan hari ini.


Nanta menegaskan, kementeriannya juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.


"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran keras kepada semua orang dan pengusaha stesen minyak bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah.


"Tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," ujarnya.


Kredit gambar Media Sosial


2,200 pegawai turun padang, Ops Samar berbaju preman


Sehubungan itu, katanya seramai 2,200 pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP digerakkan untuk melaksanakan pemeriksaan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara terhadap mana-mana orang dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan.


Menurutnya lagi, bagi menambahkan keberkesanan penguatkuasaan ini, pegawai-pegawai penguat kuasa Kementerian akan mengadaptasi pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman (tidak memakai pakaian seragam) dalam melaksanakan penguatkuasaan ini.


Ini katanya susulan pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April 2022 yang mana negara menerima kemasukan kenderaan-kenderaan yang banyak dari pelbagai negara.


Tambahnya, terdapat juga laporan yang diterima daripada orang ramai dan media tentang kenderaan asing mengisi minyak Petrol RON95 khususnya di stesen minyak sempadan negara.


Beliau memberitahu semua kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi minyak Petrol RON95 di seluruh negara.


Nanta berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melanggar perundangan ini boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian.


"Aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-279 4317, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP," ujarnya.


Grafik kredit Bernama Facebook



Beban kewangan, subsidi minyak cecah RM28 bilion pada 2022


"Sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi AS$100 setong, jumlah subsidi tersebut bagi keseluruhan 2022 dijangka mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion bagi 2021,” kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Tengku Zafrul berkata,pengguna pada masa ini hanya membayar RM2.05 seliter untuk petrol RON95, bagaimanapun, kos sebenar pada Mac telah mencecah RM3.70 seliter untuk petrol.


Katanya, kerajaan terpaksa menampung perbezaan sebanyak RM1.65 bagi setiap liter.


"Sebagai contoh, setiap kali kita pergi ke stesen pam minyak dan kita mengisi minyak dengan nilai RM100 atau kira-kira 49 liter, jumlah yang dibayar oleh kerajaan adalah RM81 kerana jumlah kos sebenar berdasarkan harga pasaran adalah RM181 bagi 49 liter RON95.


"Ini bermakna subsidi kerajaan adalah sehingga 45 peratus daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar. Bagi diesel pula, pengguna hanya membayar RM2.15 seliter di stesen minyak, sementara kos sebenar telah melebihi RM4 seliter,” katanya.


 

Seluruh dunia terkesan, membangkang biarlah bijak


Sekiranya benar-benar terdesak mengembalikan popularity, biarlah isu yang dibangkitkan menyenangkan rakyat. Biarlah hasil desakan selaku pembangkang Berjaya menekan untuk menambah baik kualiti kehidupan rakyat.


Tidak dinafikan harga minyak murah serta bekalan LPG pada harga lebih rendah akan menjimatkan perbelanjaan rakyat, namun sejarah membuktikan ia bakal menimbulkan masalah besar sehingga membawa kepada putus bekalan.

Gambar arkib kredit media sosial

Minyak habis diseleweng penyangak, isytihar pam rosak

Mungkin ramai sudah lupa, pam stesen minyak kering berikutan penyelewengan bahan api subsidi pernah menghantui kita. 


Pengusaha yang terhimpit, hanya mampu menggantung kad bertulis “Pam Rosak” kerana bekalan minyak subsidi habis.


Akibatnya, rakyat sendiri mengalami kesusahan malah ada yang terpaksa beratur panjang untuk mengisi kenderaan masing-masing.


Janganlah kita nanti sudah terhantuk baru mahu terngadah, kerana masalah kita sudah semestinya menjadi modal politik kumpulan terdesak yang sudah kehilangan sokongan akibat zaman pemerintahan mereka diwarnai kegagalan serta penuh dengan keangkuhan.

Next Post Previous Post