Kelvin Yii mesti berkerja, jangan memekak sahaja


Kelvin Yii lupa dia pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Parlimen dan wakil rakyat Kuching
KUCHING-- Isu Klinik Kesihatan Tanah Puteh, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii mungkin lupa bahawa beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Parlimen dan wakil rakyat Kuching yang mana klinik itu di bawah kawasan parlimennya. 

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Agung Pemuda SUPP, Milton Foo berkata, sebagai Ahli Parlimen Bandaraya Kuching di mana klinik kerajaan tersebut terletak dalam kawasan pilihan raya beliau, adalah menjadi tanggungjawab Kelvin Yii untuk memperjuangkan isu yang dihadapi klinik berkenaan. 
"Pembesaran dan naik taraf klinik tersebut seperti mengenal pasti lokasi strategik baharu, beliau harus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam mendapatkan tanah untuk cadangan klinik kerajaan yang baharu. 

"Selain itu, memperjuangkan dana daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membina klinik kerajaan baharu dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Milton berkata demikian bagi menjawab kenyataan Kelvin Yii hari ini berhubung lawatan beliau ke Klinik Kesihatan Tanah Puteh baru-baru ini. 

Tegasnya lagi, Ketua DAPSY Kebangsaan tidak seharusnya hanya berharap tetapi bertindak secara progresif dan bersungguh-sungguh dalam menangani dan merealisasikan cadangan untuk klinik tersebut. 

"Jangan hanya berharap, tetapi bertindaklah secara progresif dan bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang sepatutnya dilakukan untuk merealisasikan klinik Tanah Puteh yang baharu untuk manfaat pengundi serta kakitangan perubatan di situ," tambahnya. 

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kelvin atas komitmen beliau dan ikrarnya untuk mencuba sedaya upaya membantu klinik tersebut. 

"Saya juga gembira kerana Kelvin bersetuju dengan pandangan saya dan mengakui bahawa isu teras di sini ialah kekurangan tanah untuk pembesaran dan naik taraf klinik lama kerajaan ini dan bukannya hanya membaiki tandas," ujarnya. 

Tamat
Next Post Previous Post