Projek pengambilan sumber air di Tanjung Manis capai kemajuan fizikal 70.4 peratus


TANJUNG MANIS—Kemajuan fizikal projek pengambilan sumber air secara terus dari Batang Rajang untuk sistem bekalan air di Tanjung Manis adalah pada kadar 70.4 peratus.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, meskipun projek itu tertunda tetapi ia dijangka siap sepenuhnya pada 30 Jun 2022.


"Pada sebelah petang tadi saya mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pengambilan sumber air secara terus dari Batang Rajang untuk diproses dan dibekal kepada sistem bekalan air di Tanjung Manis.

"Projek ini dilaksana oleh Lembaga Air Sibu. Buat masa sekarang kemajuan fizikal pembinaan projek ini adalah pada kadar 70.4 peratus. Projek ini tertunda tetapi dijangka siap sepenuhnya pada 30 Jun 2022," katanya menerusi akaun rasmi Facebooknya hari ini. 


Mengulas lanjut tentang projek itu, Julaihi yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, projek ini mempunyai kapasiti 20 juta liter sehari (MLD), dibina dengan kos RM16.8 juta.

"Kontraktor Hock Seng Lee memperolehi projek ini melalui tender terbuka," katanya sambil menambah air mentah dari Batang Rajang akan disimpan dalam kolam sepanjang hampir satu kilometer dengan kedalaman 3 meter dan lebar 100 meter. 


Jelasnya, ia boleh menyimpan air mentah sebanyak 65 MLD.

"Air ini diproses untuk keseluruhan sistem bekalan air Tanjung Manis yang mempunyai kapasiti 20 MLD," ujarnya lagi.

Menurut beliau, masa selama enam bulan dijangka untuk tempoh kerja (6 months to commission) keseluruhan sistem paip di Tanjung Manis sebelum sistem bekalan air Tanjung Manis boleh beroperasi sepenuhnya.

"Sasaran untuk sistem bekalan air ini beroperasi sepenuhnya adalah pada bulan Disember 2022," katanya.
Next Post Previous Post