Untung bersih MAXIS susut kepada RM1.31 bilion


KUALA LUMPUR—Maxis Bhd (Maxis) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah kepada RM1.31 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 (TK2021) daripada RM1.38 bilion pada 2020, disebabkan terutamanya oleh susut nilai dan pelunasan daripada pelaburan perbelanjaan modal (capex).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perolehan hasil meningkat kepada RM9.20 bilion daripada RM8.97 bilion sebelum ini.

Bagi tempoh suku keempat sehingga 31 Dis, 2021 (S4 TK2021), Maxis merekodkan keuntungan bersih lebih rendah kepada RM289.0 juta daripada RM319.0 juta tahun ke tahun susulan pelaburan besar berterusan untuk memperkukuh rangkaian, penyelesaian perusahaan dan liputan gentian selain pengurangan penggunaan hayat spektrum yang membawa kepada peningkatan kos susut nilai dan pelunasan.

 Hasil bagi suku tersebut meningkat sedikit kepada RM2.45 bilion daripada RM2.26 bilion bagi tempoh sama dalam tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gökhan Ogut berkata strategi penumpuan dan ketangkasan kumpulan dalam persekitaran serba pantas juga membolehkan Maxis lebih berdaya tahan manakala kalangan pekerja memberi komitmen tinggi dalam menyokong keperluan pelanggan serta komuniti.

"Menerusi pelaburan berterusan dalam 'Rangkaian Kita' dan sokongan terhadap 'Rangkaian Malaysia,' kami komited untuk membawa bersama teknologi terbaik serta Rangkaian Menyeluruh bagi memastikan peningkatan kesalinghubungan semua individu, keluarga dan perniagaan di Malaysia berbanding sebelum ini,” katanya.

Maxis merekodkan aliran tunai bebas operasi yang kukuh pada RM1.28 bilion dalam S4 TK2021, menokok 12.2 peratus tahun ke tahun berikutan pengurusan aliran tunai yang lebih berhemat serta peningkatan kecekapan daripada program modal kerja selain peruntukan perkhidmatan sejagat serta bayaran cukai yang rendah.

Malah, dengan sasaran memberi pengalaman terbaik untuk pelanggan, Maxis melabur modal kerja RM1.2 bilion bagi TK2021 dengan RM597 juta bagi suku keempat iaitu tertinggi bagi satu suku tunggal.

Menurut syarikat itu, pelaburan teresbut bagi memastikan prestasi tinggi Rangkaian Menyeluruh, penyelesaian perusahan serta komitmennya untuk Jalinan Digital Negara (JENDELA) termasuk 50,000 gentian-ke-rumah bagi TK2021.

Selain itu, Maxis juga telah melepasi semua sasaran komersial JENDELA bagi tahun lepas, mempercepat kapasiti mudah alih dan tetap dengan 54 tapak baharu, sebanyak 2,471 dinaik taraf dan 21,000 premis.

Bagi kemajuan masa depan, Maxis berkata ia turut mengikuti rapat serta meneliti impak pelancaran komersial 5G dan COVID-19 dan akan mengumumkan sebarang maklumat sekiranya sesuai.

Menurut syarikat itu, keputusan kewangan bagi tahun kewangan semasa akan turut mendapat impak daripada pelaksanaan Cukai Makmur yang diperkenalkan menerusi Bajet 2022 manakala keuntungan sebelum cukai melebihi RM100 juta akan dicukai pada kadar lebih tinggi sebanyak 33 peratus iaitu 9.0 peratus melebihi kadar cukai standard 24 peratus.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post