Polis tumpas kumpulan pecah rumah ‘Geng Gurun'

Mohd Zaidi menunjukkan pelbagai barangan curi antaranya barang kemas, komputer riba, beg berjenama dan barangan berharga lain bernilai RM520,000. Gambar kredit FB Hatimin Ttr

KOTA KINABALU— Polis menumpaskan ‘Geng Gurun’ yang dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah dengan penahanan empat lelaki termasuk ketua kumpulan itu berusia 34 tahun, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata lelaki yang berasal dari Gurun, Kedah itu, dibuang kerja kerana dadah dan beliau ditahan bersama suspek lain berumur dalam lingkungan 32 hingga 64 tahun dalam beberapa siri tangkapan sekitar sini.


Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan curi antaranya barang kemas, komputer riba, beg berjenama dan barangan berharga lain bernilai RM520,000.

Katanya, geng yang aktif sejak enam bulan lepas itu dipercayai terlibat dalam 19 kes pecah rumah di sini termasuk dua kes kecurian peti besi dan sepucuk pistol, serta beberapa kes pecah rumah di Tuaran, Kota Marudu dan Penampang.


"Modus operandi kumpulan itu adalah membuat pemerhatian terhadap rumah mewah di sekitar Kota Kinabalu yang dijadikan sasaran, apabila mereka yakin rumah itu tiada penghuni mereka akan masuk dengan melompat pagar dan membuka atau mengumpil pintu serta tingkap rumah.

"Barang berharga itu kemudian akan dilupuskan dengan dijual di kedai pajak gadai di Kota Kinabalu dan Kota Belud, selain dihantar kepada pembeli barangan curi di Ampang (Selangor)… kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya pada sidang media di sini semalam.

Mohd Zaidi berkata enam lagi anggota geng berkenaan masih diburu, justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi pihak polis.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.