Empat Geng Rompak Bersenjata Dicekup Polis

BAHAN BUKTI: Superintendan Zulkipli menunjukkan barangan yang dirampas dari suspek sekaligus menjadi bukti utama dalam kes samun bersenjata itu.

BINTULU: 4 lelaki tempatan yang terlibat dalam kes rompak bersenjata di sebuah hotel bajet di Pusat Komersil Parkcity pada pagi Ahad minggu lepas lalu berjaya ditangkap polis di dua kawasan berasingan pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, kesemua suspek yang berusia antara 29 hingga 37 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di Jalan Bintulu- Tatau dan Batu 7 Jalan Bintulu-Miri antara jam 5.15 hingga 6.15 petang.

"Sejurus berjaya ditangkap, suspek membawa dan menunjukkan anggota BSJ lokasi di mana barang samun disembunyikan berupa sebilah parang, peti simpanan wang, dan pakaian digunakan semasa melakukan samun terhadap hotel terbabit," jelas beliau.


Turut dirampas menurut Zulkipli sebuah kereta dipercayai digunakan oleh suspek menjalankan kegiatan samun tersebut.

Beliau percaya dengan tertangkapnya kesemua suspek telah berjaya menyelesaikan kes rompak dan samun bersenjata di bahagian ini.

Kes ini katanya akan disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata yang mana jika disabit salah, suspek berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda beserta sebatan.

"Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu untuk permohonan reman bagi membantu siasatan dan kini ditahan reman selama 6 hari sehingga 1 Mac depan bagi membantu siasatan," jelas beliau.

Dalam kejadian pada 20 Februari sekitar jam 4.30 pagi, seorang wanita yang merupakan petugas kaunter hadapan hotel didatangi seorang lelaki yang mahu menyewa bilik, namun petugas terbabit berkata tidak ada lagi bilik kosong.

Selepas itu, lelaki terbabit keluar lalu membawa seorang lagi rakannya sebelum mengacukan parang panjang kepada petugas kaunter terbabit dan meminta wang.

Petugas kaunter yang ketakutan kemudian melihat suspek membuka laci kaunter dan melarikan sejumlah wang bernilai RM3, 717.
Next Post Previous Post