Lelaki ditahan, bekalan dadah untuk penagih Long Lama dirampas

Suspek dan dadah yang dirampas di Jalan Tapang Long Lama, hari ini. Gambar kredit IPD Marudi

MARUDI-- Seorang lelaki tempatan diberkas selepas dikesan memiliki dadah jenis syabu disyaki kegunaan penagih di Long Lama, pagi tadi.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi dalam kenyataan berkata, hasil risikan, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dalam satu serbuan dirumahnya di Jalan Tapang, Long Lama sekitar jam 3 pagi.

"Pemeriksaan di rumah menemukan dadah jenis syabu seberat 17.11 gram dianggarkan bernilai RM1, 700."

"Pemeriksaan ke atas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik suspek menjumpai satu peket plastik lutsinar besar yang dalamnya mengandungi 16 peket plastik kecil berisi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu," katanya.

Turut dijumpai sepeket plastik lutsinar besar yang dalamnya mengandungi 24 keratan tiub straw pelbagai warna, berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis sama.

"Berdasarkan siasatan awal, kita mensyaki suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Long Lama," katanya.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah.

Suspek akan disiasat di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
Next Post Previous Post