27 penagih dadah diperintah jalani rawatan dan pemulihan

Sebahagian individu yang ditangkap AADK Daerah Miri kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Gambar kredit AADK Daerah Miri

MIRI-- Seramai 27 penagih dadah yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri diperintah menjalani rawatan dan pemulihan selama dua tahun.

Majistret Leona Dominic Mojiliu dan Nazira Adlin Ahmad Khirul Razi mengeluarkan perintah tersebut pada 17 Februari di Mahkamah Majistret Miri mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1993.

Jurucakap AADK Daerah Miri dalam kenyataannya hari ini berkata, penagih tersebut diperintahkan menjalani rawatan serta pemulihan di PUSPEN Kuching.


"Perintah terbabit dijatuhkan setelah mengambil kira laporan dan syor pegawai pemulihan serta faktor keselamatan awam," ujarnya.

Katanya, kesemua individu berusia 19 hingga 49 tahun itu ditahan di beberapa kawasan sasaran sekitar Miri dalam operasi yang dijalankan antara jam 10 malam hingga 5 pagi, pada 15 Februari lalu.

Turut serta dalam operasi bersepadu itu ialah Jawatankuasa Keselamatan Penduduk (JKP) Daerah Miri.

"Ujian saringan awal yang dijalankan ke atas semua individu mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan dibawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.
Next Post Previous Post