Pemandu lori bawa muatan secara bahaya disaman

Anggota trafik sedang menjalankan pemeriksaan di laluan sekitar Mukah, petang semalam.

MUKAH-- Sebanyak enam saman telah dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kepada kenderaan perdagangan yang membawa muatan secara bahaya dan tidak kemas, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu mengesahkan, daripada 11 kenderaan yang diperiksa di sekitar Jalan Mukah-Oya dan Jalan Mukah-Selangau dari jam 3.30 hingga 5.30 petang itu, 6 daripadanya didapati melanggar undang-undang yang telah ditetapkan. 

Lori yang sarat dengan muatan balak antara yang diperiksa dalam operasi berkenaan.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati antara kesalahan yang dilakukan ialah kesalahan membawa muatan bahaya dan tidak kemas termasuk tayar kenderaan botak," jelas Alexson.

Kesemua kes katanya disiasat dan dikenakan saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (ALPKP).


Beliau menambah operasi pemeriksaan sebegini akan diteruskan dari masa ke masa bagi mengesan kenderaan perdagangan yang membawa muatan secara bahaya serta boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Next Post Previous Post