Abang Jo umum BKSS 8.0

KUCHING — Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 menerusi tujuh langkah membabitkan perbelanjaan kerajaan Sarawak berjumlah RM285.47 juta .

Abang Johari berkata, Sarawak kini dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara, dimana sektor-sektor ekonomi dan sosial telah mula dibuka. 
“Saya percaya fasa pemulihan ini akan memberi ruang kepada rakyat untuk terus menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial harian mereka demi kelangsungan hidup mereka dan keluarga masing-masing.”

“Pada masa yang sama, Kerajaan Sarawak juga akan meneruskan usaha menangani pandemik COVID-19 di Sarawak agar ia terkawal dan tidak membebankan kehidupan rakyat,” katanya semasa sidang media pengumuman BKSS 8.0 di Wisma Bap Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut BKSS 8.0, beliau berkata ia dilaksanakan bagi tempoh enam bulan bulan pertama tahun ini merangkumi lima pemberian diskaun dan dua pembayaran tunai secara sekali sahaja,

Antara langkah itu ialah bayaran secara sekali sahaja sebanyak RM500 kepada kepada pengusaha penambang, pengendali van penumpang berdaftar, pemandu teksi, pengendali bas dan van sekolah berdaftar.

“Sarawak sekarang dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara, dimana sektor-sektor ekonomi dan sosial mula dibuka.”

“Oleh itu, perkhidmatan pengangkutan awam amat diperlukan bagi membantu aktiviti sosioekonomi. Bantuan ini bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang diperlukan,” katanya.

Beliau menambah ia akan memberi manfaat kepada 1,725 pengusaha dari sektor pengangkutan di Sarawak dan langkah ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM870,000. 

Bagi membantu para penjaja dan peniaga kecil untuk meneruskan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka, Kerajaan Sarawak akan memberi Geran Khas berjumlah RM1,000 secara sekali sahaja kepada 87,500 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Sarawak Pay.

Bantuan geran khas ini akan melibatkan perbelanjaan kerajaan Sarawak sebanyak RM87.5 juta.

Abang Johari berkata, kerajaan akan meneruskan inisiatif pemberian diskaun lima peratus sehingga 25 peratus ke atas bil elektrik bulanan kepada pengguna domestik, komersil dan industri mulai bulan Januari hingga Jun 2022. 

Katanya, diskaun ini akan memberi manfaat kepada 647,000 isirumah, pengguna komersil dan industri di seluruh Sarawak. Kos keseluruhan diskaun bil elektrik ini berjumlah RM166.8 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

Bagi bil air, diskaun sebanyak 10 peratus hingga 25 peratus untuk pengguna domestik, komersil dan industri akan diteruskan bagi tempoh yang sama melibatkan pembiayaan RM24 juta dan memanfaatkan 647,000 isi rumah di seluruh Sarawak.

Untuk diskaun 50 peratus sewa Skim perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), langkah ini akan memberi manfaat kepada 3,200 penyewa Skim Perumahan HDC di seluruh negeri membabitkan kos lebih RM2.6 juta, katanya.

Beliau berkata pengecualian bayaran dewa kepada pengusaha kecil dan sederhana yang beroperasi di premis perniagaan milik badan berkanun dan syarikat GLC negeri  ia melibatkan kos sebanyak RM2 juta kepada Kerajaan Sarawak.

Abang Johari berkata, pemberian diskaun 50 peratus bagi sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk penjaja dan peniaga kecil akan diteruskan melibatkan kos berjumlah RM1.7 juta dibiayai kerajaan dan memanfaatkan 10,165 penjaja yang berdaftar.

“Saya berharap langkah-langkah dalam Pakej BKSS 8.0 dengan perbelanjaan sebanyak RM285.47 juta dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat. “

“Bantuan ini merupakan komitmen Kerajaan Sarawak dalam usaha memulihkan sosioekonomi untuk kesejahteraan rakyat seperti pakej-pakej BKSS sebelum ini.”

Abang Johari menambah, kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej BKSS memberi manfaat kepada golongan sasar.  

Terdahulu, beliau berterima kasih kepada sokongan padu semua rakyat Sarawak yang telah memberi mandat besar kepada GPS untuk terus mentadbir Sarawak bagi tempoh lima tahun lagi. 

“Segala usaha, komitmen dan perancangan kita untuk membangun Sarawak kini sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi di bawah Kerajaan Sarawak.”

“Saya akan mempastikan Sarawak di bawah pimpinan GPS akan terus berusaha membangunkan Sarawak ke arah kestabilan, kemakmuran dan kegemilangan,” katanya sambil menyeru agar rakyat sentiasa bersama dengan kita menangani pandemik ini dengan mematuhi segala SOP yang dikeluarkan.
Next Post Previous Post