Ribut rosakkan 40 rumah



SHAH ALAM — “Ribut yang melanda tidak begitu lama namun cukup menggerunkan, seperti ada puting beliung di atas bumbung,” kata Norhaslinda Nayan.


Norhaslinda, 43, adalah antara 40 penduduk Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 Shah Alam yang terjejas semasa ribut dan hujan lebat disertai hujan batu petang semalam.


Beliau berkata, malah bunyi hujan di luar seolah-seolah hujan batu kerana terlalu kuat.


“Kejadian ribut seperti ini adalah yang pertama dialaminya sejak lebih 20 tahun menetap di sini,” katanya dipetik Bernama.


Menurut Norhaslinda, kediamannya yang baru sahaja dicuci susulan banjir pada akhir tahun lalu sekali lagi terpaksa dibersihkan kerana ribut turut merosakkan bahagian bumbung sehingga menyebabkan seluruh bahagian dalam rumah basah.


Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian ribut pada 5.15 petang yang mengakibatkan bumbung rumah penduduk tercabut dan diterbangkan angin.


“Kita menerima laporan beberapa kawasan kawasan di Shah Alam terjejas susulan hujan lebat dan ribut. Namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan.


Pemangku Ketua Kampung Batu 3 Mohd Syafiq Ali Bajunid Omar berkata, hujan lebat yang bermula pada 5.30 petang turut disertai pusaran angin kecil yang mengakibatkan berpuluh-puluh bumbung rumah penduduk diterbangkan angin dan tiang elektrik tumbang.


“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna MBSJ Batu Tiga turut dibuka untuk kemudahan penduduk yang terjejas,” katanya sambil menambah setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.


Setakat petang semalam, kawasan sekitar kampung itu masih bergelap kerana terputus bekalan elektrik sejak petang semalam selepas beberapa tiang elektrik tumbang akibat kejadian ribut berkenaan.


Sementara itu Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad malam tadi bergegas ke Kampung Kebun Bunga, Batu 3 bagi meninjau kerja-kerja pembersihan.


“Saya berharap semoga mereka tabah sementelah baru sebulan dilanda musibah banjir. Usaha bagi membantu mereka sedang dijalankan,” katanya dalam hantaran di Facebook Parti Amanah Negara.

Next Post Previous Post